Apple secara rasmi hari ini melancarkan iPhone 17e sebagai model mampu milik dan pelengkap dalam barisan iPhone 17 yang dilancarkan September tahun lalu.
Model ini hadir dengan beberapa peningkatan utama termasuk cip baharu, kamera dipertingkat serta storan permulaan yang kini lebih besar.

iPhone 17e dilengkapi skrin Super Retina XDR OLED bersaiz 6.1-inciĀ dengan kecerahan maksimum 1200 nits serta dilindungi Ceramic Shield 2 yang menawarkan rintangan calar sehingga tiga kali lebih baik berbanding generasi terdahulu. Binaannya menggunakan aluminum gred aeroangkasa dan masih mengekalkan perlindungan kalis air dan habuk IP68.
Peranti ini dikuasakan cip A19 dengan 6-teras CPU, 4-teras GPU (iPhone 17 5-teras GPU) serta 16-teras Neural Engine. Menariknya, storan kini ditawarkan bermula 256GB.

iPhone 17e turut menggunakan modem selular C1X rekaan Apple yang dikatakan sehingga dua kali lebih pantas berbanding C1 pada iPhone 16e.
Dari segi kamera, Apple membawakan sistem kamera Fusion 48MP yang menyokong 48MP utama dan 12MP telefoto 2x berkualiti optikal. Mod potret turut dipertingkat dengan pemprosesan imej baharu yang menghasilkan bokeh lebih semula jadi, selain membolehkan fokus diubah selepas gambar diambil.

Di bahagian hadapan, model ini hadir dengan 12MP TrueDepth kamera swafoto. Kedua-dua kamera hadapan dan belakang turut menyokong rakaman video 4K Dolby Vision sehingga 60fps dan Spatial Audio.

Dengan pengecasan berwayar 20W melalui USB-C, iPhone 17e boleh mengecas sehingga 50% bateri dalam masa sekitar 30 minit. Ia kini turut menyokong MagSafe dan Qi2 untuk pengecasan wayarles sehingga 15W berbanding Qi 7.5W pada iPhone 16e.

Lain-lain termasuk sokongan sambungan 5G, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.3, NFC, komunikasi satelit seperti Emergency SOS, Messages dan Find My, serta menjalankan iOS 26 yang turut membawa ciri Apple Intelligence.
Harga dan ketersediaan

iPhone 17e ditawarkan dalam pilihan warna Soft Pink, White dan Black, dengan pilihan storan berikut:
- 256GB – RM2,999
- 512GB – RM3,999
Prapesan bermula pada 4 Mac 2026, jam 10.15 malam dan akan tersedia di pasaran Malaysia mulai 11 Mac 2026.
{suggest}
