Apple hari ini melancarkan iPhone 16e, ahli baharu dalam keluarga iPhone 16 yang menawarkan prestasi tinggi pada harga lebih berpatutan. Dilengkapi dengan cip A18 dan modem C1, ia memberikan prestasi pantas, hayat bateri luar biasa, pengalaman Apple Intelligence, sistem kecerdasan peribadi yang lebih pintar dan selamat.
Reka Bentuk
iPhone 16e hadir dengan paparan Super Retina XDR OLED 6.1 inci serta dilengkapi perlindungan IP68 untuk ketahanan terhadap air dan debu. Bahagian hadapannya menggunakan Ceramic Shield, yang dikatakan lebih kuat daripada mana-mana kaca telefon pintar lain.
Bateri iPhone 16e menawarkan hayat bateri terbaik untuk iPhone bersaiz 6.1 inci, mampu bertahan sehingga 6 jam lebih lama daripada iPhone 11 dan 12 jam lebih lama daripada iPhone SE generasi terdahulu. Ia juga menyokong pengecasan USB-C dan pengecasan tanpa wayar.
Prestasi Dipacu Cip A18 dan Modem C1
Dikuasakan oleh cip A18, iPhone 16e menawarkan prestasi 80% lebih pantas berbanding cip A13 Bionic pada iPhone 11. Ia juga dilengkapi GPU 4-teras yang menyokong ray tracing, menjadikan pengalaman bermain permainan grafik tinggi lebih lancar.
Modem C1 yang direka oleh Apple sendiri pula menjanjikan sambungan 5G yang lebih cekap tenaga, memberikan kelajuan tinggi dan kestabilan rangkaian yang lebih baik.
Dilengkapi Apple Intelligence
iPhone 16e direka khusus untuk Apple Intelligence, sistem AI peribadi yang membantu pengguna dalam pelbagai tugasan harian. Antara ciri yang diperkenalkan termasuk, Clean Up Tool, Image Playground, Genmoji, dan Writing Tools.
Siri juga kini lebih pintar, mampu memahami konteks perbualan, mengikuti arahan berturut-turut, dan menjawab ribuan soalan tentang produk Apple. Menariknya, ChatGPT kini diintegrasikan terus ke dalam Siri dan Writing Tools, membolehkan pengguna mendapatkan bantuan tanpa perlu membuka aplikasi lain.
Sistem Kamera 48MP dengan 2x Telefoto
iPhone 16e menampilkan kamera utama 48MP Fusion yang menggunakan pemprosesan imej canggih untuk menghasilkan gambar berkualiti tinggi dengan butiran yang jelas. Dengan 2x Telefoto terbina di dalam, pengguna boleh mendapatkan kualiti zum optikal seperti mempunyai dua kamera dalam satu peranti.
Selain itu, iPhone 16e juga menyokong rakaman video 4K Dolby Vision hingga 60fps, rakaman audio ‘Spatial Audio’, serta pengurangan bunyi angin menggunakan algoritma pembelajaran mesin.
Ciri Keselamatan dan Komunikasi Satelit
Seperti model terdahulu, iPhone 16e dilengkapi ciri keselamatan SOS Kecemasan, Bantuan Tepi Jalan, dan Mesej melalui satelit, membolehkan pengguna berkomunikasi walaupun di luar kawasan liputan selular atau Wi-Fi.
Crash Detection pula dapat mengesan kemalangan jalan raya dan secara automatik menghubungi perkhidmatan kecemasan jika pengguna tidak sedarkan diri.
Harga dan Ketersediaan di Malaysia
iPhone 16e boleh didapati dalam dua warna premium Matte White dan Matte Black, dengan pilihan storan berikut:
- 128GB – RM2,999
- 256GB – RM3,499
- 512GB – RM4,499
Prapesan bermula pada 21 Februari ini jam 9 malam dan akan tersedia di pasaran Malaysia mulai 28 Februari.
Apple juga menawarkan program Tukar Beli, di mana pengguna boleh menukar peranti lama untuk mendapatkan potongan harga sehingga RM1,000 apabila menaik taraf kepada iPhone 16e.
Dengan ini iPhone 16e merupakan pilihan menarik untuk pengguna yang mahu menikmati pengalaman iPhone 16 tanpa perlu membayar harga premium.
{suggest}
Foto utama: Apple