Apple pada awal pagi tadi telah memperkenalkan iPhone 16e, model asas terbaru yang menggantikan siri iPhone SE. Hadir dengan reka bentuk lebih moden, peranti ini membawa perubahan ketara seperti Face ID, port USB-C serta cip C1 baharu yang menjadikannya lebih seiring dengan iPhone terkini.
Sebagai model paling mampu milik dalam barisan iPhone 16, pastinya peranti ini menjadi pilihan menarik bagi pengguna yang inginkan pengalaman iPhone terkini pada harga lebih rendah.
Sementara menanti prapesan dibuka malam esok, berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu anda ketahui mengenai iPhone 16e.
Selamat tinggal, butang Home!
iPhone 16e yang diperkenalkan hari ini hadir dengan Face ID menggantikan Touch ID. Dengan itu, buat pertama kali sejak pelancaran iPhone pertama pada 2007, Apple tidak lagi menjual mana-mana model iPhone baharu dengan butang Home.
Selepas diperkenalkan pada 2007, butang Home menerima naik taraf Touch ID dengan pelancaran iPhone 5s pada 2013.
Apple mula mengurangkan penggunaan butang Home apabila Face ID diperkenalkan melalui iPhone X pada tahun 2017. Kini, dengan penjualan iPhone SE terakhir yang masih menggunakan butang Home telah dihentikan, proses peralihan itu akhirnya lengkap.
Tiada lagi iPhone dengan port Lightning
Dengan pengenalan iPhone 16e, Apple telah menghentikan penjualan iPhone 14, iPhone 14 Plus dan iPhone SE generasi ketiga, sekali gus menggugurkan model iPhone terakhir yang masih dilengkapi port Lightning.

Ini bermakna, Apple secara rasmi tidak lagi mengeluarkan mana-mana iPhone dengan port Lightning, dan semua model dalam barisan iPhone kini dilengkapi port USB-C. Namun, beberapa model iPhone dengan port Lightning mungkin masih tersedia melalui pengedar sah Apple.
Untuk rekod, Apple pertama kali menggunakan port Lightning pada iPhone 5, iPod touch (generasi ke-5), dan iPod nano (generasi ke-7) yang diumumkan pada September 2012, menggantikan 30-pin Dock Connector yang digunakan sebelum ini.
Tiada lagi storan 64GB pada iPhone
Apple tidak lagi menawarkan pilihan storan 64GB untuk iPhone 16e, menjadikan semua model iPhone kini bermula dengan sekurang-kurangnya 128GB storan.
Satu-satunya produk Apple yang masih menawarkan storan 64GB ialah iPad gen-10, tetapi ia berkemungkinan akan dihentikan apabila iPad 11 dilancarkan kelak.
iPhone pertama guna modem Apple sendiri – C1
Buat pertama kalinya, Apple menggunakan modem rekaan sendiri untuk iPhone 16e. Dinamakan sebagai C1, modem ini dikatakan mampu menawarkan sambungan 5G lebih pantas dan stabil.
Action Button
iPhone 16e kini dilengkapi Action Button, menggantikan suis Ring/Silent.
Selain masih boleh digunakan untuk membisukan (silent) peranti, butang ini kini menyokong pelbagai fungsi lain, termasuk mengenal pasti muzik dengan Shazam, menterjemah dengan Translate, menjalankan Shortcut atau melancarkan Visual Intelligence berasaskan kamera.
Visual Intelligence
iPhone 16e menyokong sepenuhnya Apple Intelligence, termasuk Visual Intelligence. Pada siri iPhone 16, ciri ini diaktifkan dengan menekan lama butang Camera Control, tetapi iPhone 16e tidak mempunyai butang tersebut.
Sebagai ganti, pengguna boleh menetapkan Visual Intelligence pada Action Button atau menambah togol di Control Center untuk mengaksesnya.
Dengan Visual Intelligence kini boleh digunakan melalui Action Button, masih belum jelas sama ada iPhone 15 Pro dan Pro Max yang turut memiliki butang ini akan menerima ciri yang sama.
Tiada sokongan MagSafe
Sama seperti iPhone SE yang kini dihentikan jualan, iPhone 16e juga tidak menyokong sambungan magnetik MagSafe.
Tiada sebarang rujukan mengenai MagSafe pada halaman spesifikasi peranti, dan ia juga tidak disebut dalam keterangan sarung silikon iPhone 16e. Ini bermakna aksesori seperti sarung MagSafe, pengecas, pek bateri, dan dompet tidak akan berfungsi dengan peranti ini.
Satu-satunya cara untuk menggunakan aksesori MagSafe adalah dengan memilih sarung khas yang mempunyai magnet MagSafe terbina.
Walaupun tanpa ciri ini, iPhone 16e masih menyokong pengecasan wayarles Qi.
Paparan bertakuk
iPhone 16e dilengkapi paparan bertakuk, menjadikannya satu-satunya model dalam barisan iPhone terkini yang masih menggunakan reka bentuk ini.
Model lain, seperti iPhone 15, iPhone 15 Plus, iPhone 16 dan iPhone 16 Plus, telah beralih kepada Dynamic Island.
Lain-lain
Seperti iPhone 16 dan iPhone 16 Plus, iPhone 16e kini dilengkapi paparan OLED dengan sokongan kadar segar semula 60Hz.
Selain itu, peranti ini dikuasakan cip A18 dengan 4-teras GPU, sedikit berbeza daripada iPhone 16 yang mempunyai 5-teras GPU.
Dengan pilihan warna Matte White dan Matte Black, iPhone 16e ditawarkan pada harga bermula RM2,999. Prapesan bermula pada 21 Februari ini jam 9 malam dan akan tersedia di pasaran Malaysia mulai 28 Februari.
{suggest}
Gambar utama: Apple