Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan hanya dua daripada tujuh entiti yang ditambah ke dalam US Entity List oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS), Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat, merupakan entiti Malaysia, iaitu Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd.
Antara kedua-dua entiti tersebut, Speedmatrix Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Megaspeed International Pte. Ltd., yang diperbadankan di Singapura.
Selain entiti berkenaan, dokumen peraturan muktamad BIS turut menyenaraikan satu lagi nama, PT Megaspeed International, di bawah Malaysia. Bagaimanapun, MITI menjelaskan mengikut rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), syarikat itu bukan entiti di bawah Malaysia dan tidak beroperasi sebagai pengendali atau penyewa pusat data di negara ini.
Susulan penyenaraian tersebut, MIDA juga akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di Malaysia bagi memaklumkan tentang penyenaraian tersebut.
Pengendali pusat data turut dinasihatkan supaya tidak menjadi hos kepada, menyewakan ruang atau menyediakan perkhidmatan kepada tujuh entiti berkenaan, termasuk tiga entiti di bawah Singapura dan satu dari Thailand.
24 NOVEMBER 2026 | MEDIA STATEMENT: THE ADDITION OF MALAYSIAN ENTITIES TO THE US ENTITY LIST – UNDER BUREAU OF INDUSTRY AND SECURITY OF THE US DEPARTMENT OF COMMERCE pic.twitter.com/fmMe0aEGwA
— MITI Malaysia (@MITIMalaysia) November 24, 2026
Dalam pada itu, MITI menegaskan Malaysia kekal komited untuk memastikan persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan. Kerajaan juga tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai saluran untuk mengelak kawalan eksport, serta akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
