Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Di China, Pengguna Kini Boleh ‘Sewakan’ Wajah Kepada Platform AI – Bayaran Cecah AS$700

Posted on Julai 31, 2026Julai 31, 2026

Ledakan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja mengubah cara kandungan digital dihasilkan, malah turut mewujudkan satu sumber pendapatan baharu di China.

Menurut laporan Rest of World, pengguna di China kini boleh melesenkan wajah mereka kepada platform AI untuk digunakan dalam drama, iklan, permainan video dan pelbagai kandungan digital yang dijana AI.

Platform berkenaan menawarkan bayaran sekitar AS$15 hingga AS$700 bergantung pada jenis penggunaan, jumlah produksi dan syarat yang ditetapkan oleh pemilik wajah. Penerbit pula boleh memilih wajah daripada katalog yang disusun mengikut umur, jantina, penampilan dan genre kandungan yang ingin dihasilkan.

Pengguna turut diberi pilihan untuk menentukan di mana wajah mereka boleh digunakan serta menetapkan harga lesen sendiri.

“Sama ada pelakon dan model memilih untuk melesenkan wajah mereka di platform kami atau tidak, AI telah pun mengganggu industri ini,” kata Long Lyu, ketua operasi di platform hak imej AI New Claw, kepada Rest of World. “Menjual hak ke atas foto mereka memberi mereka cara untuk menjana pendapatan, sambil meneruskan kerjaya mereka di luar talian.”

Trend ini muncul ketika penggunaan AI dalam industri drama mikro di China semakin berkembang pesat. Dilaporkan, lebih 95% daripada 128,000 drama mikro yang diterbitkan dalam tempoh tiga bulan pertama 2026 menggunakan AI dalam proses penghasilannya.

Isu keselamatan dan risiko penyalahgunaan

Di sebalik peluang menjana pendapatan, penggunaan wajah dalam kandungan AI turut menimbulkan kebimbangan berkaitan keselamatan dan hak individu. Di China, penggunaan wajah tanpa kebenaran bukan lagi isu terpencil apabila semakin ramai mendapati rupa mereka digunakan dalam kandungan AI tanpa persetujuan.

Sebelum ini, ByteDance turut didakwa menggunakan AI untuk mengubah wajah dua pempengaruh dalam sebuah drama AI tanpa kebenaran mereka. Drama yang meraih lebih 40 juta tontonan itu akhirnya diturunkan. ByteDance turut memaklumkan bahawa sejak awal 2026, syarikat itu telah memadam lebih 85,000 video yang melibatkan penghasilan semula wajah dan suara individu tanpa kebenaran.

Peningkatan penyalahgunaan itu turut membawa kepada lebih banyak tindakan undang-undang. Mahkamah Internet Guangzhou dilaporkan telah mendengar kira-kira 700 kes berkaitan kecurian wajah menggunakan AI dalam tempoh tiga tahun lalu.

Pada Mac 2026 pula, Mahkamah Internet Beijing memutuskan bahawa penggunaan wajah seseorang dalam kandungan AI tanpa kebenaran adalah menyalahi undang-undang walaupun imej tersebut telah diubah suai.

Platform pelesenan wajah bukan penyelesaian mutlak

Bagi mengurangkan risiko tersebut, muncul platform seperti ActID yang membantu mengurus pelesenan wajah, memantau penggunaan imej di internet dan menghubungkan pengguna dengan peguam sekiranya tindakan undang-undang diperlukan.

Setakat ini, syarikat itu mempunyai sekitar 800 pengguna berdaftar, dengan kira-kira 300 daripadanya bersetuju melesenkan wajah mereka untuk digunakan dalam produksi AI.

Namun, pakar undang-undang berpendapat pendekatan ini masih belum mampu menghapuskan risiko jangka panjang. Setelah data wajah dimuat naik ke platform AI, pemilik mungkin sukar mengawal bagaimana identiti biometrik mereka digunakan pada masa hadapan, termasuk kemungkinan disalahgunakan untuk pertukaran wajah tanpa kebenaran atau dijadikan data latihan model AI.

Walaupun pasaran pelesenan wajah dijangka terus berkembang, faktor kos masih menjadi pertimbangan utama dalam industri.

Menurut seorang pengarah drama AI, ada produksi yang membeli lesen wajah supaya watak tidak kelihatan terlalu “AI”, namun kebanyakan drama AI masih menggunakan watak yang dijana AI sepenuhnya kerana ia lebih menjimatkan kos.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress