Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Lebih 700 Juta Unit Terjual, Ini 5 Konsol Paling Laku Sepanjang Zaman

Posted on Jun 4, 2025Jun 4, 2025

Sejak era awal konsol permainan sekitar tahun 1970-an, dunia gaming sudah melalui pelbagai fasa evolusi. Kini, dengan kehadiran Nintendo Switch 2 yang bakal tersedia tidak lama lagi, persaingan konsol kembali menjadi perhatian. Walaupun trend permainan atas awan dan digital semakin berkembang, konsol fizikal tetap mempunyai tempat istimewa di hati ramai pemain.

Berikut adalah lima konsol paling laris dalam sejarah industri permainan video, berdasarkan angka jualan global yang dicatatkan oleh pengeluar masing-masing.

1. PlayStation 2 – 160 juta unit

Sony memperkenalkan PlayStation 2 (PS2) pada tahun 2000 dan mencetuskan kegilaan di seluruh dunia. Salah satu faktor utama kejayaannya ialah sokongan untuk permainan asal PlayStation serta fungsi memainkan cakera DVD, menjadikannya bukan sekadar mesin permainan, tetapi juga pusat hiburan rumah.

Malah, kemampuan PS2 untuk memainkan DVD memang satu langkah bijak daripada Sony. Ini kerana, pada waktu itu, kita sudah mula beralih dari VCD ke DVD.

Di Malaysia sendiri, peranti pemain DVD sangatlah mahal. Belum lagi DVD itu sendiri (yang original, bukan pasar malam). Namun, PS2 yang bukan sahaja memainkan filem DVD, ia boleh memainkan permainan video dan paling penting, harganya jauh lebih munasabah.

Tidak hairanlah, hampir kebanyakan orang mahu membeli konsol ini. Kalau bukan untuk main game, sekurang-kurangnya dapat mainkan DVD.

Walaupun katalog awal permainannya tidak begitu menarik, PS2 akhirnya melonjak dengan kemunculan siri terkenal seperti Grand Theft Auto, Gran Turismo, Final Fantasy, Tekken dan Metal Gear Solid. Gabungan fungsi hiburan dan permainan berkualiti menjadikannya konsol paling laris sepanjang zaman.

2. Nintendo DS – 154 juta unit

Kalau anda teruja akan telefon boleh lipat, mungkin anda terlupa peranti daripada Nintendo ini, Nintendo DS.

Nintendo DS mula memasuki pasaran pada tahun 2004 dan mencuri perhatian dengan rekaan dwi-skrin yang boleh dilipat. Ia turut dilengkapi mikrofon dan sambungan internet, satu penambahbaikan besar berbanding Game Boy.

DS kekal relevan kerana gabungan permainan klasik seperti Super Mario dan Pokemon, serta tajuk yang menjadi fenomena seperti Animal Crossing dan Nintendogs. Konsol ini bukan sahaja menarik minat pemain muda, malah berjaya menembusi pasaran keluarga dan kasual.

3. Nintendo Switch – 152 juta unit

Switch dilancarkan pada 2017 sebagai konsol hibrid yang boleh dimainkan di rumah atau dibawa ke mana-mana. Fleksibilitinya menjadikannya pilihan ramai, terutamanya golongan yang mahukan pengalaman permainan tanpa terikat pada satu tempat.

Kejayaan permainan seperti Zelda: Breath of the Wild dan Animal Crossing: New Horizons, yang mendapat perhatian besar sewaktu pandemik, membantu mengukuhkan kedudukan Switch sebagai salah satu konsol paling berjaya dalam sejarah Nintendo.

4. Game Boy – 118 juta unit

Saya masih ingat ketika kecil dahulu, apabila melihat ada rakan memiliki Game Boy, dia sudah dikira “masyuk”. Memang benar pun. Melihat konsol kompak dan memainkan game selain tembak itik, sudah cukup teruja.

Dilancarkan pada penghujung 1980-an dan dikembangkan dengan versi berwarna pada 1998, Game Boy menjadi simbol era permainan mudah alih. Ia turut menjadi platform pertama kepada kemunculan francais Pokemon, yang kini sudah menjadi fenomena global.

Gabungan permainan mudah seperti Tetris dan Super Mario Land menjadikan Game Boy pilihan utama pada zaman itu, seterusnya membantu Nintendo mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam pasaran mudah alih.

5. PlayStation 4 – 113 juta unit

PlayStation 4 mula dijual pada 2013 dan berjaya mendominasi pasaran walaupun berdepan saingan sengit daripada Xbox One. Jualannya mencecah lebih 113 juta unit menjelang tahun 2020.

Konsol ini popular kerana menawarkan pengalaman permainan yang stabil dan berkualiti tinggi, disokong oleh siri permainan seperti The Last of Us Part II, Grand Theft Auto V, serta adaptasi popular seperti Marvel’s Spider-Man dan Star Wars Battlefront.

Saya boleh katakan yang katalog permainan PlayStation 4 sangatlah banyak. Peralihan daripada konsol PS3 kepada PS4 bagi saya ibarat PS2 ke PS3. Grafik dan mekanisme permainan amatlah lain. Lebih-lebih lagi alat kawalan DUALSHOCK 4 memang sangat imersif apabila memainkan permainan eksklusif PlayStation.

Kesimpulan

Walaupun teknologi permainan semakin berubah dengan kehadiran cloud gaming dan servis digital, angka jualan konsol ini membuktikan bahawa ramai pemain masih setia pada pengalaman bermain secara tradisional. Dengan kehadiran Nintendo Switch 2 yang semakin hampir, mungkin senarai ini akan berubah dalam beberapa tahun akan datang.

Saya pernah bermain Xbox Cloud Gaming dan biarpun ia seronok, tetapi pengalaman memiliki konsol itu sangatlah lain. Saya sendiri pengguna tegar konsol dan memiliki kesemua konsol Sony dari era PS2.

Kini, memiliki PS5, Xbox Series X dan juga Nintendo Switch. Namun, berbeza dengan dahulu, waktu bermain sudah berkurang. Konsol umpama perhiasan sahaja di bilik. Bagaimanapun, dengan banyak judul permainan baharu yang akan dilancarkan termasuk GTA 6 tahun hadapan, mungkin konsol saya akan hidup semula.

Apa-apa pun, jika anda membesar dengan salah satu daripada konsol ini, atau mungkin masih menggunakannya, anda sedang memegang sebahagian daripada sejarah industri permainan video.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress