Pada zaman sekarang, format video pendek cukup popular dalam kalangan pengguna. Didominasi TikTok dan media sosial lain mengikuti, mungkin ada yang berasakan format video panjang di YouTube kian hilang relevan.
Walau bagaimanapun, mungkin anggapan itu bukanlah benar sepenuhnya.
Ini kerana YouTube terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform media dominan di ruang tamu, dengan laporan terkini Nielsen bagi April 2025 menunjukkan ia menyumbang 12.4% daripada jumlah tontonan televisyen di mana ia peratusan tertinggi pernah dicatatkan oleh platform itu.
Selain itu, ia juga merupakan bulan ketiga berturut-turut YouTube mengungguli senarai tersebut, sekali gus mencerminkan perubahan besar dalam tabiat menonton pengguna.
Di belakang YouTube, Disney kekal di tempat kedua dengan 10.7% pegangan tontonan TV. Lonjakan kecil ini dibantu oleh acara sukan seperti NFL Draft dan NBA Playoffs serta kejayaan siri seperti Grey’s Anatomy, yang mudah diakses di pelbagai platform dan saluran.
Paramount pula merekodkan pertumbuhan paling ketara bulan ini, meningkat kepada 8.9%, didorong oleh pertambahan tontonan pada rangkaian CBS. Sementara itu, NBCUniversal dan Warner Bros. Discovery masing-masing meraih 8.2% dan 6.7%. WBD mendapat lonjakan ketara daripada siaran perlawanan NBA di TNT serta kejayaan siri HBO The White Lotus di platform Max.
Melihat kepada data tersebut, saya turut bersetuju dan tidak hairan pengguna memilih untuk menonton YouTube di TV. Saya sendiri berbuat demikian.
Pada pendapat peribadi, antara faktornya adalah jumlah kandungan yang terlalu banyak di platform ini. Kita juga bebas memilih kandungan yang ingin ditonton. Ditambah lagi sokongan resolusi UHD serta paparan TV yang cantik, jauh lebih puas untuk menikmatinya.
Kalau penstriman permainan video pula, ia menyokong resolusi tinggi seperti 2K, berbanding TikTok yang hanya FHD.
Trend ini menunjukkan bahawa penonton semakin meninggalkan kandungan TV tradisional untuk memilih platform yang lebih fleksibel, bersifat atas permintaan, dan interaktif.
Dengan YouTube bukan sahaja menawarkan kandungan video pendek, tetapi juga rancangan panjang dan siaran langsung, ia kini bukan sekadar pesaing tetapi menjadi peneraju dalam ekosistem hiburan di rumah.
{suggest}