Xiaomi Umum Aplikasi Seumpama Clubhouse Untuk Android Dan iPhone

Pada 19 Februari lalu, Xiaomi secara rasmi telah pun menamatkan perkhidmatan aplikasi permesejan Mi Talk. Kini, Xiaomi bakal melancarkan semula aplikasi itu dengan menawarkan perkhidmatan yang berbeza.

Menurut laporan, Mi Talk baharu akan menawarkan perkhidmatan komunikasi berasaskan suara yang memfokuskan golongan profesional. Jika dilihat, penawaran aplikasi ini adalah seumpama aplikasi sosial media Clubhouse, yang semakin meningkat naik sejak kebelakangan ini.

Aplikasi ini juga akan menjadi produk baharu, di mana pengguna tidak boleh memindahkan akaun atau data daripada perkhidmatan permesejan sebelum ini.

Ianya sudah pun tersedia untuk ujian beta bagi peranti iOS dan Android. Akan tetapi, hanya sebilangan kecil pengguna yang akan menerima jemputan buat masa ini.



Menggunakan konsep sama seperti Clubhouse, pengguna lain juga perlu menerima jemputan untuk mendaftar. Bagaimanapun, tidak diketahui jika aplikasi ini hanya akan tersedia untuk pasaran China atau ditawarkan secara global.

Sumber: GizChina