Sejak pelancaran Mi MIX 3 5G hampir dua tahun lalu iaitu pada Mei 2019, Xiaomi tidak pernah melancarkan mana-mana peranti dalam siri ini. CEO Xiaomi turut mengesahkan tiada model baharu Mi MIX yang akan dilancarkan pada tahun lalu.
Sementara itu, Mi Mix Alpha pula disahkan tidak akan dihasilkan secara besar-besaran berikutan cabaran pengeluaran yang terlalu tinggi.
Terkini, dalam pertemuan bersama Mi Fans, Lei Jun yang merupakan CEO Xiaomi telah mengesahkan peranti andalan Mi MIX 4 akan hadir pada tahun ini. Sama seperti pendahulunya, peranti ini dijangka akan diperkenalkan dengan membawakan teknologi serta ciri-ciri terbaik.
Laporan ini turut disahkan oleh Wang Teng yang merupakan Pengarah Produk Xiaomi. Melalui muat naik di Weibo, beliau menyatakan model baharu Mi MIX akan dilancarkan tahun ini, namun tiada tarikh spesifik yang didedahkan.
Di sisi yang lain, Lei Jun turut mendedahkan mereka akan mula menghasilkan tablet Xiaomi yang baru. Mengimbau kembali, kali terakhir Xiaomi melancarkan tablet adalah pada 2018 dengan pelancaran Mi Pad 4.
Terdahulu, spekulasi menyatakan peranti ini mungkin hadir dengan rekaan boleh lipat seperti Samsung Galaxy Z Fold. Sama ada benar atau tidak, nantikan lebih banyak maklumat lanjut mengenai Mi MIX 4 dari semasa ke semasa.
Sumber: GizChina