(Ulasan) Huawei P50 - Fotografi Terus Unggul Tapi Ketiadaan GMS Buat Garu Kepala

HUAWEI P50 hanya tiba di Malaysia bulan lalu, lewat berbanding model Pocket dan Pro yang beberapa bulan sebelumnya.

Kita tahu siri P memang membawakan kualiti fotografi yang sangat mengagumkan. Imbas kembali, model seperti Huawei P9, P10 dulu pernah menjadi kegilaan ramai pengguna tempatan atas faktor kameranya.

4 kamera di belakang dan 1 di hadapan ialah:

  • 50 MP True-Chroma (Color, f/1.8 apertur)

  • 13 MP ultralebar (f/2.2 apertur)

  • 12 MP telefoto (f/3.4 apertur, OIS), sokong AF

  • 13 MP swafoto (ultralebar, f/2.4)


Beza kali ini, spesifikasi yang lebih terkini tapi tiada aplikasi Google seperti Play Store, YouTube, Gmail dan lain-lain (Google Mobile Services).

Apakah ia masih membawa pesona sama dan berbaloi dimiliki pada 2022?

Reka bentuk


Dengan skrin AMOLED bersaiz 6.5 inci, dan berat sekitar 181g, saya secara peribadi memang gemar dengan bentuk dan fizikalnya. Kenapa? Ia terasa ngam, tidak terlalu besar dan tidak kecil di tangan.



Navigasi satu tangan terasa selesa, skrin juga sudah cukup untuk memuaskan pandangan saya. Cumanya, ia terasa agak ringan jadi vibe premium itu kuranglah sedikit daripada sudut itu. Dibanding dengan Huawei P40 dulu, ia sangat berat, saiz yang sama, jadi memang beberapa kali ganda terasa lebih premium.

Penggunaan harian


Dari segi penggunaan biasa seperti media sosial, bukaan aplikasi, bermain dengan kamera secara kasual dan lain-lain, tidak ada masalah. Ini sememangnya dijangka memandangkan cip Snapdragon 888, walaupun bukanlah terbaru tapi setakat penggunaan harian, apalah sangat untu cip kelas andalan tahun lalu.

Kalau nak nampak lagi smooth, saya maksimumkan saja kadar segarnya pada 90Hz.

Isunya seperti biasa, mencari aplikasi sedikit leceh kerana App Gallery sendiri kadangkala tidak ada aplikasi yang dikehendaki lalu membawa ke laman web pihak ketiga. Dengan itu, soal keselamatan agak merisaukan sedikit.

Kamera


Inilah yang menjadi kunci utama siri dan model ini. Saya tidak mahu cakap banyak, hasil gambar sememangnya 'Huawei'.



Butiran tajam, warnanya hidup, HDR berfungsi baik. Potretnya juga bagus, dapat memisahkan objek dan latar dengan agak sempurna.

Dalam pencahayaan yang cukup, antara yang cemerlang ialah kemampuannya mengekalkan butiran. Warnanya mungkin tidak semula jadi, tapi kepekatan diaplikasikannya minimal dan cukup untuk buatkannya gambar nampak hidup dan cantik.

Zum (Ultralebar, 1x, 5x, 10x)








Potret





Makro



Gambar malam

Jika anda mengambil gambar sewaktu malam atau ketika dalam pencahayaan rendah, mod biasanya mungkin sudah cukup beri keterangan untuk foto yang jelas.

Tetapi dengan mod malam, ia memperincikan semula butiran agak gambar tersebut agar bertambah kemas. Contohnya, lampu yang terlalu terang pada bangunan dan cahaya di langit akan digelapkan sedikit agar tidak kelihatan terlalu cerah dan kekok.



Swafoto

Swafotonya juga sangat memuaskan dengan warna yang terang dan HDR yang tidak mengecewakan. Tapi, saya mengalami masalah potret di mana banyak kali percubaan mengambil potret dalam swafoto, kesan bokehnya langsung tidak nampak.

Ia menunjukkan ruang petak di wajah, menandakan mengesan wajah manusia tetapi kesan bokehnya tidak wujud pun. Latar di belakang masih tajam seperti mod biasa.



Tapi, saya percaya ia hanya pepijat dan isu kecil yang mungkin dihadapi saya. Jika memang dialami unit lain sekalipun, pastinya Huawei mengeluarkan kemas kini menyelesaikannya.

Kesimpulan


Terdahulu, saya pernah mengulas P50 Pocket dan boleh saya katakan, dari segi kamera, kedua-dua sama berkuasa. Sangat memuaskan hati, amazing kata Inggeris.

Sama juga seperti saya katakan sebelum ini, identiti Huawei melalui kamera dan antara muka EMUI terus dibawakan dalam model-model baharu mereka ini. Kamera? Memang 'Huawei'. Tidak perlu dihurai lanjut, semua orang boleh faham dengan 2 frasa itu saja.

Cumanya, seperti semua tahu juga, ketiadaan GMS sangat memberi kesan. Kalaulah GMS terus wujud pada peranti Huawei, namanya pasti terus berada teratas dalam jualan global dan Malaysia.

Saya tidak segan untuk menjalankan Huawei P50 sebagai peranti harian kalau ada GMS. Tapi sayang seribu kali sayang, kita sendiri tidak tahu bilakah Huawei dan Google akan bertaut kasih yang direstui.

Dari segi harga, sukar saya katakan ia berbaloi, tambah pula tidak sesuai untuk digunakan sebagai peranti harian atau kerja memandangkan kekangannya iaitu aplikasi dan perkhidmatan Google.

Peranti andalan pada 2022 dengan harga atas RM2,500 tapi tiada sokongan 5G? Ini satu perkara yang agak mengecewakan. Peranti andalan dibeli untuk digunakan bagi tempoh yang lama, jadi bertambah kurang wajar untuk Huawei P50 dengan harga sebegitu.

Beli HUAWEI P50:

Huawei P50 ditawarkan dalam dua varian warna iaitu Golden Black dan Cocoa Gold dan dijual pada harga RM2,999.

Baca juga: