Telefon anda skrin rata? Tak boleh lipat? Lemah.
Skrin rata, melengkung dan terkini boleh lipat. Daripada ketiga-tiga keadaan ini, skrin rata masih menjadi pilihan ramai disebabkan praktikaliti yang ada padanya. Secara peribadi, saya agak suka dengan skrin melengkung namun kerap kali hanya menyimpannya dalam hati apabila rakan-rakan pakar teknologi lain meluahkan rasa kecewa mereka dengan skrin jenis ini. Takkanlah saya mahu menyatakan pandangan terpencil di kalangan mereka yang lebih pakar, bukan?
Ia mula menjadi popular apabila Samsung mengeluarkan siri Galaxy Fold dan Flip. Walaupun tidak terlalu mendapat sambutan hangat pada awal kemunculannya, tapi kini pengguna sudah mula tergoda dengan keunikan dibawanya. Bahkan, syarikat pengeluar lain juga sudah mula bergelumang dengan arena telefon boleh lipat seperti HONOR dan Oppo.
Huawei, walaupun telah dipaksa memutuskan silaturahim dengan Google, namun masih bernafsu menjerumuskan diri dengan mengeluarkan telefon boleh lipat pertama mereka di bawah siri andalan iaitu Huawei P50 Pro.
Ini ialah sebuah pengalaman menggunakan Huawei P50 Pocket, sebuah telefon boleh lipat pertama daripada Huawei.
Spesifikasi
- Skrin utama: OLED, 6.9 inci, FHD+ (1188 x 2790 piksel), nisbah 21:9, 120Hz kadar segar semula, 300Hz kadar input sentuh.
- Skrin kedua: OLED, 1.04 inci, 340 x 340 piksel, 60Hz kadar segar semula, 120Hz kadar input sentuh.
- Cip pemprosesan: 5nm Snapdragon 888 4G
- Cip grafik: Adreno 660
- Memori: RAM 8GB/12GB, Storan 128GB/512GB
- 3 kamera belakang: 40MP(f/1.8) Utama + 13(f/2.2) Sudut Lebar + 32MP Ultra Spectrum(f/1.8)
- Kamera swafoto: 10.7MP(f/2.2)
- Bateri: 4,000mAh (USB Type-C) dengan pengecas 40W
- Antara muka: EMUI 12
Rekaan
Corak yang timbul pada tubuh telefon ini menjadi salah satu faktor keunikannya. Apakah ia menaikkan seri premium padanya? Saya agak berbelah bahagi. Kadangkala ia tampak lebih mahal dengan rekaan begini namun pada waktu lain kelihatan agak murah, tidak padan dengan harganya.
Disebabkan badannya dibahagi pada dua bahagian, kita akan dapati kesemua butang, dan slot kad sim diletakkan di bahagian atas. Bahagian bawah pula tidak mempunyai apa-apa punat melainkan pembesar suara dan lubang pengecasan.
Dek kerana badannya yang panjang, maka terasa agak sukar untuk mencapai butang kuasa dan laras suara kerana ia terlalu tinggi. Tetapi jika dilipat, butang-butang ini agak selesa contohnya apabila anda ingin menyahkunci telefon untuk untuk menggunakan skrin kedua atau melaras suara ketika peranti memainkan lagu.
Di bahagian luar, terdapat dua bulatan yang juga menjadi keunikan peranti ini berbanding telefon boleh lipat lain. Satunya mengumpulkan kamera dengan tiga lensa manakala sebuah bulatan lagi adalah skrin kedua.
Skrin
Skrin utamanya tidak dapat dinafikan mempunyai kesan lipatan tetapi ia tidak terlalu mengganggu ‘penglihatan’ semasa dihidupkan kecuali jika anda melihatnya dari sisi.
Dengan paparan 120Hz, memang terasa kemewahannya semasa menatal laman sosial dan lain-lain. Anda boleh memilih mod Dynamic untuk merasai 120Hz ketika diperlukan dan pada masa sama tidak menggunakan bateri terlalu tinggi berbanding 120Hz sepanjang masa.
Dengan nisbah 21:9, kepanjangannya sangat terasa sewaktu awal-awal menggunakannya. Ia tidak terlalu berat jadi kadangkala agak risau kerana hujung tubuhnya agak jauh daripada tangan.
Bagi skrin kedua pula, bagi saya ia mempunyai ketumpatan pixel yang agak baik untuk skrin yang tidak mempunyai fungsi utama. Ia memaparkan animasi dengan lancar namun tidak boleh ditetapkan dengan fungsi yang banyak. Ia hanya boleh memaparkan beberapa widget seperti jam, kalendar, cuaca, pemain muzik, navigasi peta dan kamera.
Oh tidak lupa juga, skrin kedua ini akan memaparkan paparan kamera jadi jika anda mahu mengambil swafoto. Ini bermakna anda boleh menggunakan kamera walaupun telefon dilipat. Ia suatu yang mengujakan melihat skrin sekecil ini memaparkan apa yang dilihat kamera.
Kamera
Ini antara identiti Huawei yang masih kekal walaupun kini memasuki era tanpa Google, tanpa Leica. Ia adalah bukti kehebatan Huawei mengoptimumkan perisian dan perkakas, satu perkara yang tidak semua pengeluar mampu capai.
Saya menyangka prestasi kamera pada telefon ini hanya biasa-biasa saja kerana ia bukanlah sebuah telefon untuk semua, bahkan mungkin saja peranti gimik. Sangkaan saya meleset. Kamera utamanya menghasilkan kualiti gambar yang cemerlang dengan warna yang terang tanpa melebih-lebih, HDR yang berfungsi baik bersama perincian yang cukup. Bagi sebuah peranti dengan sasaran pasaran yang kecil, ia sangat baik, setanding telefon bukan boleh lipat. Bukan sahaja mod biasa malah potret pada kamera belakang juga memberi hasil yang memuaskan.
Kita sedia maklum telefon boleh lipat bukan peranti yang akan akan dijadikan telefon utama kegunaan harian kerana jujurnya, membuka dan menutup lipatan setiap kali menggunakannya tidak praktikal. Gambar pada waktu malam juga tidak mengecewakan walaupun tanpa mod malam.
Untuk kamera sudut lebarnya juga agak memuaskan walaupun tidak menghasilkan butiran terperinci seperti kamera utama namun ini perkara biasa untuk lensa sebegini. Warna dihasilkan tidak jauh berbeza dengan lensa utama membuatkan saya tidak menyesal menggunakan lensa ini.
Untuk makro pula, gambar yang diambil juga hadir dengan warna yang agak tepat dengan butiran yang agak terperinci. Namun, di bahagian bucu atau di tepi agak kabur seolah-olah lensa sedang fokus pada subjek di tengah. Gambar dihasilkan kesemua kamera belakang P50 Pocket secara keseluruhannya sangat bagus.
Kamera hadapan pula berlainan prestasinya — mengecewakan. Dari atas kertas sekalipun kita dapat agak ia akan memberi kualiti yang agak teruk dengan 10.7MP yang disertakan. Gambar potret juga seolah-olah tidak menjadi kerana foto tampak seperti tiada perbezaan antara potret dan gambar biasa. Jadi, saya lebih suka mengambil gambar swafoto menggunakan kamera belakang dengan melipat telefon ini. Ia sebuah pengalaman yang menarik, ditambah pula jika anda melakukannya di hadapan khalayak ramai.
Bateri dan Pengecasan
Dengan kapasiti bateri sebesar 4,000mAh, 120Hz sememangnya pantas menurunkan peratusan bateri sama ada dalam mod dinamik atau kekal 120Hz.
Tetapi dengan mod paparan standard (60Hz) prestasi bateri agak memuaskan, tidak terlalu rendah mahupun perlu dipuji melambung. Saya dapat mencapai screen-on-time (SoT) sekitar 7-8 jam dengan menggunakan paparan 60Hz.
Namun, saya pasti pengguna lain ingin menggunakan 120Hz, jika tidak, terasa rugi kerana tidak memanfaatkan kelebihan, tambah pula pada skrin sepanjang 21:9 ini. Jadi, bersedia untuk menggunakan peranti dalam tempoh hayat yang lebih pendek jika anda mahu terus berasa puas dengan 120Hz.
Dengan pengecas 40W yang disertakan dalam kotak, mengecas dari 30% ke 100% hanya mengambil masa selama sekitar 1 jam sahaja.
Antara Muka dan Aplikasi
Setelah beberapa tahun meninggalkan Huawei, saya tidak menyangka akan suka dengan EMUI 12 ini. Oh ya, telefon ini tidak hadir dengan HarmonyOS sebaliknya EMUI 12. Secara visual, sememangnya tidak ada perbezaan antara kedua-duanya. HarmonyOS dikatakan memberi kelebihan untuk ekosistem Huawei namun jika ada hanya mempunyai 1-2 peranti Huawei, EMUI tidak membuatkan anda berasa kehilangan.
Dengan cip Snapdragon 888, RAM sebesar 8GB dan skrin 120Hz, semuanya terasa begitu lancar. Bahkan jika saya beralih pada 60Hz sekalipun, sistem operasi dan antara muka masih beroperasi lancar. Sebagai peminat Xiaomi, saya lebih suka dengan EMUI berbanding MIUI. Antara muka Huawei ini tidak terlalu gigih menjadi iOS, terlebih fancy mahupun terlalu meriah dengan animasi.
Sebaliknya, EMUI 12 membawakan antaramuka yang kemas, sederhana pada masa sama tidak juga ketinggalan. Kemeriahannya cukup-cukup sahaja, tidak membuatkan saya berasa seperti menggunakan telefon untuk kanak-kanak. Tanpa perlu try hard meniru ciri daripada antara muka telefon lain, semua tahu integrasi antara perisian dan perkakas Huawei adalah antara yang terbaik dalam segmen Android. Jadi, tidak ada isu pada EMUI sepanjang penggunaan saya.
Bercakap soal EMUI, pastinya ketiadaan Google Mobile Services menjadi satu kekurangan besar. Disebabkan ia juga tidak mempunyai aplikasi YouTube rasmi, jadi saya harus melayari YouTube melalui pelayar. Jadi, saya tidak boleh melebarkan nisbah video seperti pada aplikasi. Pengalaman menonton video YouTube di pelayar sememangnya suatu perkara yang tidak saya gemari.
Oh ya, Huawei juga tidak mengesahkan EMUI 12 ini menggunakan versi Android yang mana dan seolah-olah cuba lari daripada “Android” kerana dalam Settings sekalipun tiada perkataan “Android” dinyatakan. Berdasarkan aplikasi penanda aras seperti Antutu, ia menyatakan telefon ini menggunakan Android 11.
Apa yang suka dalam EMUI 12 ialah pengguna boleh menetapkan ketebalan atau weight tulisan atau font pada telefon. Ia diaplikasikan pada keseluruhan sistem. Menetapkan saiz font ialah perkara biasa namun memilih ketebalannya, suatu yang jarang namun ternyata memberi rasa berbeza dengan setiap ketebalan.
Seperti kita sedia maklum, selepas ketiadaan Play Store, AppGallery yang menggantikannya juga hingga sehingga kini masih jauh ketinggalan dari segi ketersediaan aplikasi. Mujurlah aplikasi perbankan tempatan telah dibangunkan untuknya namun aplikasi popular seperti WhatsApp, PUBG, Genshin Impact masih perlu dimuat turun dari pihak ketiga. Di sini, enjin Petal Search binaan Huawei akan mencadangkan laman pihak ketiga untuk anda muat turun.
Lipatan
Untuk lipatannya, ia terasa sedikit longgar berbanding Galaxy Z Flip3 yang lebih kukuh. Apabila membandingkan kedua-duanya, rasa premium itu lebih jelas pada Flip3 ketika menutup dan membuka lipatan. Tidak mudah untuk membukanya dengan satu tangan namun tidaklah terlalu ‘liat’.
Menariknya, kedua-dua bahagian skrin bertemu rapat apabila dilipat, kata orang, ‘gapless‘. Ia memberi perasaan ‘utuh’ atau ‘solid’ ketika memegangnya dalam mod lipat. Ini berbeza daripada Flip3 yang jelas ada ruang antara skrin. Ini nyata satu kelebihan untuk Huawei.
Apabila anda membuka telefon, memang tidak dinafikan kesan lipatan itu jelas tetapi tidak menjolok mata apabila skrin dinyalakan. Ini bermakna ketika menggunakan telefon seperti menatal, jalur tersebut tersembunyi dan tampak seperti skrin biasa. Hanya apabila skrin dimatikan atau ketika ia hidup tetapi anda melihatnya dari sisi seperti membelek-belek mencari kesalahan manusia lain, jalur tersebut akan kelihatan jelas.
Permainan
PUBG dengan nisbah 21:9? Menarik. Dengan Snapdragon 888, memainkannya dengan tetapan tertinggi yang tersedia tidak ada sebarang masalah. Terasa haba pada bahagian belakang telefon namun masih boleh diterima.
Prestasi Snapdragon 888 bersama Adreno 660 menjadi nadi pengalaman bermain dengan prestasi yang sangat baik bersama tetapan tertinggi. Tiada isu perisan atau perkakas saya hadapi ketika bermain. Ditambah dengan nisbah 21:9, ia satu perkara yang anda perlu rasai sekurang-kurang sekali seumur hayat.
Ringkasnya, telefon ini boleh saja dibuat untuk memainkan permainan secara harian namun mungkin sesetengah orang tidak gemar kerana tubuhnya yang terlalu panjang dan binaannya tidak terasa utuh seperti telefon gaming.
Audio
Audio yang keluar daripada pembesar suara agak baik dengan kelantangan yang memuaskan. Pada laras suara maksimum, kelantangannya kuat tetapi audio juga tidak ‘pecah’. Untuk sebuah telefon berfizikal unik, ia mencapai tahap yang baik. Malangnya, ia cuma datang dengan pembesar suara mono di bahagian bawah.
Menariknya, fungsi butang pembesar suara bertukar antara satu sama lain apabila telefon dilipat. Ini bermakna, butang perlahan akan berfungsi sebagai butang penaik kelantangan dan sebaliknya. Ini sesuai dengan kedudukan butang ketika dilipat. Ia mungkin bukan perkara yang mustahak, namun saya terkejut dan kagum. Kata gadis moden, “It is the small detail that matters.” Tapi sayang, skrin keduanya tidak memaparkan tahap kelantangan. Harap Huawei dapat menambah ciri ini dalam kemas kini akan datang.
Kelemahan
- Kekurangan aplikasi di AppGallery
- Tidak menyokong rangkaian 5G
- Tidak kalis air atau debu
- Gambar kamera hadapan yang berkualiti rendah
- Binaan yang terasa agak biasa jika dibandingkan dengan Galaxy Fold3
Kelebihan
- Rekaan ‘gapless’ apabila telefon dilipat
- Kamera belakang yang memberi gambar berkualiti
- Prestasi bateri yang memuaskan
- Antara muka yang kemas dan lancar
- Skrin OLED dengan 120Hz
Rumusan
Untuk sebuah peranti boleh lipat, ia sememangnya mempunyai prestasi yang baik namun bila dibandingkan dengan harga jualannya, pasti pengguna berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Kamera yang ‘Huawei’, antaramuka yang kemas dan lancar, bateri yang baik tetapi tidak mempunyai GMS, tidak menyokong 5G, tiada piawian kalis air atau debu serta binaan yang biasa-biasa, anda sendiri tentukan.
Jika anda mempunyai wang yang terlalu banyak sehingga tidak tahu ke mana hendak dibelanjakan, P50 Pocket bukan satu jenayah namun jika anda sedang mencari telefon untuk kegunaan harian, mungkin ia tidak cukup praktikal untuk jangka masa panjang.
Melalui laman rasmi Huawei di Shopee dan Lazada, P50 Pocket masih boleh dipratempah dan dijadualkan dihantar dalam masa 25 hari. Dua versi yang ditawarkan adalah varian putih berharga RM5,999 dengan 8GB RAM dan 256GB storan manakala Premium Edition berharga RM7,299 dengan 12GB RAM dan 512GB storan.
Pratempahan untuk kedua-dua jenis versi P50 Pocket dibuka sehingga hari 13 Februari 2022 manakala pembelian secara fizikal pula boleh dilakukan bermula 22 Februari 2022 nanti.
Baca juga: