Sony secara rasmi melancarkan model fon kepala premium terbarunya, WH-1000XM6, di pasaran Malaysia. Model ini merupakan kesinambungan kepada siri 1000X yang telah memenangi pelbagai anugerah dan menetapkan penanda aras bagi teknologi pembatalan hingar aktif (ANC) dan pengalaman audio peribadi.
Ditawarkan pada harga RM2,099, WH-1000XM6 hadir dengan pelbagai penambahbaikan dari segi reka bentuk, prestasi audio, serta ciri pintar yang lebih responsif dan adaptif.
Dari sudut pembatalan hingar, WH-1000XM6 menampilkan HD Noise Cancelling Processor QN3, yang kini tujuh kali lebih pantas daripada pemproses pada model terdahulu.
Dengan penggunaan 12 mikrofon, berbanding 8 pada model WH-1000XM5, sistem ini mampu menyesuaikan tahap ANC secara masa nyata berdasarkan persekitaran pengguna.
Sony turut memperkenalkan Adaptive NC Optimizer, iaitu teknologi yang melaras pembatalan hingar bukan sahaja mengikut bunyi sekitar, tetapi juga tekanan udara, menjadikan ia sesuai untuk kegunaan dalam pelbagai situasi termasuk semasa dalam penerbangan.
Fungsi Auto Ambient Sound juga diperhalusi untuk membenarkan bunyi sekeliling penting seperti pengumuman atau perbualan ringkas didengar dengan jelas tanpa menjejaskan pengalaman mendengar muzik.
Dari segi kualiti bunyi, Sony mengambil pendekatan berbeza dengan melibatkan jurutera mastering profesional dari tiga studio rakaman terkenal seperti Sterling Sound, Battery Studios, dan Coast Mastering dalam pembangunan profil audio fon kepala ini.
Jurutera-jurutera ini termasuk Randy Merrill yang pernah bekerja bersama Taylor Swift dan Ed Sheeran, serta Mike Piacentini yang dikenali dengan hasil kerjanya untuk artis seperti Bob Dylan dan Depeche Mode.
Melalui kolaborasi ini, Sony memastikan bahawa bunyi yang dihasilkan adalah selari dengan ekspresi asal artis, lengkap dengan dinamik, perincian, dan keseimbangan tonal yang tepat.
Teknologi audio yang dimuatkan dalam WH-1000XM6 termasuk sokongan Hi-Res Audio, LDAC, serta DSEE Extreme yang menggunakan AI untuk menaik taraf semula fail muzik yang dimampatkan agar lebih hampir kepada kualiti rakaman asal.
Tambahan pula, unit pemacu khas yang digunakan bersama bahan gentian karbon berketegaran tinggi memberikan kejelasan bunyi pada semua julat frekuensi, termasuk vokal yang lebih menonjol dan bass yang lebih bersih.
Fungsi panggilan telefon juga ditingkatkan dengan penggunaan sistem beamforming enam mikrofon, bersama algoritma AI yang menumpukan pada suara pengguna sambil menapis bunyi latar belakang.
Pengguna kini boleh membuat atau menerima panggilan dalam persekitaran yang bising tanpa gangguan, dan fungsi “mute” boleh diaktifkan serta-merta melalui butang pada fon kepala itu sendiri.
Dari segi rekaan, WH-1000XM6 mengekalkan ciri-ciri utama siri 1000X tetapi hadir dengan beberapa penambahbaikan dari segi ergonomik. Pad telinga direka dengan bahan yang lebih lembut dan ringan, manakala headband yang lebih lebar dan diperbuat daripada kulit vegan memberikan keselesaan maksimum walaupun digunakan untuk jangka masa lama.
Reka bentuk boleh lipat semula seperti model XM4 turut kembali, memudahkan penyimpanan ketika perjalanan. Fon kepala ini ditawarkan dalam tiga warna – Midnight Blue, Platinum Silver, dan Black.
WH-1000XM6 juga disertakan dengan pelbagai ciri pintar baharu. Antaranya ialah Scene-based Listening, di mana fon kepala secara automatik menyesuaikan tahap pembatalan hingar dan tetapan audio berdasarkan aktiviti serta lokasi pengguna.
Ciri ini digabungkan dengan Quick Access, yang membolehkan sambungan pantas kepada perkhidmatan muzik seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Amazon Music hanya dengan satu sentuhan.
Sokongan untuk LE Audio dan Auracast pula menjadikan fon kepala ini lebih mesra untuk tontonan video atau permainan video kerana ia menawarkan latensi ultra rendah dan keserasian meluas.
Untuk hayat bateri, WH-1000XM6 menawarkan sehingga 30 jam masa main balik dengan ANC dihidupkan, dan sehingga 40 jam jika ANC dimatikan. Tambahan pula, fon kepala ini menyokong pengecasan pantas.
Hanya 3 minit pengecasan mampu memberikan sehingga 3 jam waktu penggunaan, sesuai bagi mereka yang sering bergerak. Fon kepala ini juga boleh digunakan sambil dicas melalui sambungan USB.
Di Malaysia, WH-1000XM6 ditawarkan pada harga RM2,099 dan kini boleh diprapesan. Pelanggan yang mendaftar jaminan sebelum 20 Julai 2025 akan menerima RM50 kredit Touch ‘n Go eWallet, selain headphone stand eksklusif bernilai RM199 secara percuma.
Pembelian turut disertakan dengan kabel USB-C, kabel audio, bekas penyimpanan dan panduan pengguna.
{suggest}