Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Sony Xperia 1 VII Dah Tiba – Kamera Besar, Audio WALKMAN & Kemas Kini 6 Tahun

Posted on Mei 13, 2025Mei 13, 2025

Sony secara rasmi telah melancarkan telefon pintar andalan terbaharu mereka untuk 2025, iaitu Sony Xperia 1 VII. Diperkenalkan melalui laman rasmi Sony Jepun, model ini meneruskan tradisi Xperia yang memfokuskan kepada visual berkualiti tinggi, prestasi kamera profesional, serta pengalaman audio terbaik.

Hadir dalam tiga pilihan warna elegan — Moss Green, Orchid Purple dan Slate Black, Xperia 1 VII tampil dengan rekaan yang ringkas.

Paparan peranti ini menggunakan skrin OLED 6.5 inci beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz, dan menyokong teknologi BRAVIA yang terkenal daripada televisyen Sony.

Dengan ciri ini, Xperia 1 VII menawarkan paparan yang bukan sahaja responsif, tetapi juga lebih terang dan tajam.

Menjadikannya skrin paling cerah pernah digunakan dalam mana-mana peranti Xperia setakat ini. Nisbah paparan sinematik 21:9 juga kekal menjadi ciri ikonik telefon ini. Selain itu, ia turut dilindungi Gorilla Glass Victus 2.

Dari segi kamera, Sony membawa naik taraf besar pada kamera ultra-lebar, yang kini dilengkapi dengan sensor 1/1.56 inci di mana ia jauh lebih besar berbanding generasi sebelumnya.

Sensor ini membolehkan kamera menangkap lebih banyak cahaya, menghasilkan imej yang lebih terang dan jelas dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Sistem kamera ini turut disokong dengan teknologi AI Sony, serta kawalan manual melalui aplikasi kamera yang biasa digunakan dalam kamera profesional jenama mereka.

Di bahagian dalaman, Xperia 1 VII dikuasakan oleh Snapdragon 8 Elite dan dipadankan bersama 12GB RAM serta storan 256GB dan menyokong storan tambahan microSDXC sehingga 2TB.

Untuk peminat audio, Xperia 1 VII membawakan pengalaman yang benar-benar unik. Ia mengekalkan bicu audio 3.5mm dan disokong oleh teknologi dari warisan WALKMAN, termasuk Hi-Res Audio, Dolby Atmos, dan 360 Reality Audio.

Dari aspek ketahanan, peranti ini hadir dengan penarafan IP65/IP68, bermakna ia kalis air dan debu, menjadikannya selamat digunakan dalam pelbagai keadaan cuaca.

Xperia 1 VII turut dilengkapi bateri berkapasiti 5000mAh dengan pengecasan 30W, yang mampu memberikan penggunaan sehingga dua hari dalam senario penggunaan biasa. Pengurusan kuasa turut dipertingkat dengan sokongan Xperia Intelligence AI, yang mempelajari corak penggunaan pengguna dan mengoptimumkan prestasi serta penjimatan tenaga secara automatik.

Lebih penting, Sony akhirnya menyertai pengeluar lain dalam komitmen jangka panjang terhadap perisian. Xperia 1 VII akan menerima 4 tahun kemas kini sistem operasi, serta 6 tahun kemas kini keselamatan.

Ia dijual pada harga €1,499 (~RM7,200) dan dijangka akan tiba ke pasaran tidak lama lagi memandangkan ia sudah dipaparkan dalam laman rasmi Sony Malaysia.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress