iQOO Malaysia memperkenalkan siri baharu iQOO Z11 yang terdiri daripada iQOO Z11 5G dan iQOO Z11x 5G, menyasarkan pengguna muda dan pelajar yang memerlukan peranti dengan prestasi stabil serta bateri tahan lama untuk kegunaan harian.
iQOO Z11 5G
iQOO Z11 5G menjadi model utama dalam siri ini dengan fokus pada prestasi dan ketahanan. Ia dikuasakan cip Snapdragon 7s Gen 4 yang dipadankan dengan sehingga 12GB RAM LPDDR4X dan storan 256GB UFS 3.1.

Model ini menggunakan skrin AMOLED 1.5K 144Hz serta menyokong kecerahan maksimum sehingga 5,000 nits.
Untuk kamera, ia menampilkan sensor 50MP Sony IMX882 dengan sokongan OIS, mod malam RAWHDR serta rakaman video 4K/30fps untuk kamera depan dan belakang.
Salah satu tarikan utama peranti ini ialah bateri Silicon BlueVolt 9020mAh, antara yang terbesar dalam kelasnya. Dengan sokongan 90W FlashCharge, peranti ini direka untuk penggunaan jangka panjang dengan masa pengecasan yang lebih singkat.

Untuk gaming, ia menyokong fungsi Bypass Charging bagi mengurangkan tekanan bateri semasa bermain, serta sistem pengurusan bateri yang lebih pintar untuk menjaga kesihatan bateri dalam jangka panjang.

Terdapat juga Independent Gaming Antenna yang membantu mengurangkan lag dalam mod landskap, manakala mod Monster menyokong permainan FPS tinggi. Sistem penyejukan IceCore menampilkan VC ultra-besar 7000 mm², digabungkan dengan helaian grafit pirolitik berprestasi tinggi dan sistem kawalan suhu pintar iQOO.

Lain-lain termasuk penarafan IP68 dan IP69 untuk ketahanan air dan habuk, serta menjalankan OriginOS 6.0. iQOO Z11 5G menjanjikan pengalaman lancar selama 60 bulan, dengan 3 generasi kemas kini sistem operasi dan 5 tahun kemas kini keselamatan.
iQOO Z11x 5G
iQOO Z11x 5G pula lebih fokus kepada penggunaan harian yang stabil dan tahan lama. Ia dikuasakan cip MediaTek Dimensity 7400 Turbo yang cukup untuk tugasan asas seperti media sosial, penstriman dan aplikasi harian.

Peranti ini dilengkapi bateri 7,200mAh bersama sokongan 44W FlashCharge untuk pengecasan pantas.

Dari segi ketahanan, ia turut menyokong IP68 dan IP69 yang memberikan perlindungan tambahan terhadap air dan habuk, menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan harian yang pelbagai.
Harga dan ketersediaan
iQOO Z11 5G hadir dalam warna Glacier Blue dan Cosmic Black dengan varian 12GB + 256GB pada harga RM2,199, manakala versi 8GB + 256GB (dalam talian sahaja) berharga RM1,899.
Sepanjang tempoh jualan pertama (6–17 Mei 2026), pengguna boleh menikmati manfaat sehingga RM396 termasuk beg galas iQOO percuma, iQOO Buds Air, jaminan lanjutan setahun, dan perlindungan skrin retak selama 180 hari (selagi stok masih ada). Pembelian boleh dibuat melalui TikTok Shop rasmi iQOO, Shopee, Lazada dan kedai konsep vivo.

iQOO Z11x 5G pula tersedia dalam talian sahaja dengan harga RM1,599 (8GB + 256GB) dan RM1,299 (8GB + 128GB). Sepanjang kempen sama, pembeli akan menerima manfaat sehingga RM267 termasuk beg galas iQOO percuma serta jaminan lanjutan dan perlindungan skrin.
{suggest}
