Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

(Ulasan) iQOO 15: Prestasi Gaming Yang Cemerlang, Tapi Ada Sesuatu Yang Anda Perlu Tahu

Posted on Mei 1, 2026

iQOO, yang bermaksud “I Quest On and On“, merupakan sebuah syarikat bawah vivo yang telah wujud sejak tahun 2019. Sejak penubuhannya, iQOO telah mengeluarkan telefon-telefon gaming ‘flagship killer’ yang mampu bersaing dengan realme, Infinix, dan REDMAGIC.

Kepada yang tidak mengetahui, iQOO mempunyai tiga siri: siri nombor (12, 13) yang merupakan segmen flagship, siri Neo (Neo 9, Neo 10) dalam kategori midrange, dan siri Z (Z9, Z10x) iaitu segmen bajet.

Dalam artikel ini, model yang akan diuji ialah model terkini dalam siri nombor iaitu iQOO 15, model flagship keluaran Oktober 2025.

Adakah Cip dalam iQOO 15 Seperti Yang Disangkakan?

iQOO 15 dikuasakan dengan cip flagship Snapdragon 8 Elite Gen 5, ditemani 16GB LPDDR5X RAM, storan UFS 4.1, dan sistem penyejukan 8K Virtual Chamber (VC).

Berdasarkan spesifikasi-spesifikasi ini, terutamanya cip dengan skor AnTuTu tahap 4 juta ini, pastinya saya mempunyai jangkaan yang tinggi (sebagai seorang Snapdragon fanboy), dan membuatkan saya tertarik untuk mencubanya seboleh mungkin. Maka, itulah apa yang telah saya lakukan terhadap telefon ini: cubaan prestasi dan ketahanan sistem penyejukan.

Untuk keseluruhan uji kaji ini, saya hanya menggunakan mod ‘Balanced’ di ‘Performance panel’ untuk seimbangkan prestasi dan hayat bateri.

Saya memulakan langkah ke dalam alam permainan natif, iaitu permainan yang dibangunkan untuk Android. Sepatutnya, permainan natif tidak akan menjadi sukar untuk cip berkaliber ini untuk menakluki.

Bermula dengan Genshin Impact, permainan video ini bukanlah baharu, jadinya tidak mengejutkan bahawa telefon ini boleh mengendalinya dengan baik. Dengan tetapan grafik ‘High’ dan 60 frames per second (fps), ia terasa lancar, jika saya cuma bersiar-siar. Cuma, fps akan turun apabila melawan boss. Telefon juga menjadi sedikit panas, dan bateri turun dengan cepat.

Sebelum lawan boss.
Ketika lawan boss.

Seterusnya ialah Ujian prestasi dimulakan dengan permainan natif, yang sepatutnya tidak terlalu sukar untuk cip berkaliber ini untuk menakluki. CarX Street, dengan tetapan grafik tahap 6 (paling tinggi), dan fps ‘no limit’. Telefon ini mampu kekal dalam sekitar 58-60 fps sepanjang masa, dengan suhu telefon suam, dan bateri turun sedikit sahaja.

CarX Street, 58-60 fps.

Bagi Alien: Isolation pula, tetapan permainan ini locked atau dikunci pada 30 fps, jadinya ia tidak boleh ‘overclock’ sehingga 60 fps. Dengan tetapan ‘Graphics’, ia terasa lancar tanpa rasa tersangkut. Masih mampu menikmatinya seolah-olah melayan filem dengan fps serendah ini.

Alien: Isolation, tetapan ‘Graphics’, 30 fps.

Untuk Where Winds Meet, yang merupakan antara permainan video terkini yang demanding dari segi grafik, cip ini mampu mengendalinya tanpa masalah. Dengan tetapan grafik ‘Ultra’, dan 60 fps, telefon ini mampu mencapai sekitar 56-60 fps. Suhu telefon menjadi suam setelah bermain selama beberapa minit, tetapi ia masih lagi mampu bertahan. Bateri turun cepat sedikit, tetapi tidak teruk.

Where Winds Meet. Grafik Ultra, 56-60 fps.

Satu lagi permainan video yang baru sahaja dibuka server pada 29 April yang lalu, iaitu Neverness To Everness, mampu ditakluki juga. Kelihatan prestasinya cukup baik, dengan tetapan grafik ‘Extreme’ dan 60 fps, telefon ini mampu mencapai 60 fps tanpa masalah, walaupun suhu telefon cepat menjadi suam dan bateri turun 10% selepas bermain selama hampir 40 minit.

Neverness To Everness. Grafik Extreme, 60 fps.

Seterusnya ialah emulasi konsol PSP dengan menggunakan aplikasi PPSSPP. Tak banyak yang saya boleh katakan kerana cip ini amat berkuasa. Semuanya berjalan pada fps tertinggi walaupun telah ditetapkan 10x upscaling.

God of War: Ghost of Sparta. 60 fps.
Tomb Raider: Anniversary. 60 fps.
Dante’s Inferno. 40 fps.

Konsol yang seterusnya ini adalah daripada syarikat yang selalu menyaman sesiapa yang cuba untuk mencipta aplikasi untuk mengemulasi konsol tersebut: Nintendo Switch.

Nota bagi sesiapa yang mungkin dari Nintendo: saya hanya mencuba permainan Nintendo Switch sahaja. Saya tidak terlibat dengan pembuatan aplikasi emulasi ini. Jangan saman saya.

Baiklah, kini kita memasuki alam emulasi Nintendo Switch. Dengan menggunakan aplikasi Eden, saya menetapkan tetapan resolusi 720p/1080p, FSR 50%, CPU overclock fast (2000MHz), dan tiada ‘fps limit’ untuk kedua-dua permainan video.

Permainan pertama ialah Batman Asylum. Setakat ini, ia berjalan dengan lancar, tetapi ada masalah grafik glitching.

Batman Asylum. 25-30 fps.

Permainan kedua ialah DreadOut Remastered Collection. Permainan video ini juga berjalan dengan lancar, tetapi mempunyai masalah yang sama seperti Batman Asylum, masalah grafik glitching.

DreadOut Remastered Collection. 60-80 fps.

Walaupun kedua-dua permainan video ini ada masalah grafik glitching, saya masih mampu menikmati aksi Batman, dan rasa dihantui hantu.

Jika permainan natif, emulasi konsol PSP dan Nintendo Switch mampu ditakluki, bagaimana pula dengan PC? Mampukan cip dalam iQOO 15 meluaskan taklukannya?

Kepada yang telah merasa menggunakan cip ini pada telefon-telefon lain, pastinya mereka akan menjawab “Ya”.

Tetapi, berdasarkan pengalaman saya mencuba emulasi permainan PC menggunakan Winlator dan Gamehub, agak kurang lancar, lagi-lagi Winlator. Hal ini kerana pada awalnya, Winlator selalunya akan crash atau terkeluar daripada aplikasi secara automatik selepas hanya kurang daripada 10 minit membuka aplikasi tersebut.

Saya berpendapat bahawa mungkin OriginOS penyebabnya kerana ia giat menutup aplikasi di background. Jika anda ingin melakukan sebarang emulasi permainan PC pada telefon ini, anda perlu melakukan sedikit “hacking” seperti menukar nama pakej aplikasi dengan meniru nama pakej aplikasi benchmark seperti AI Benchmark dan AnTuTu agar aplikasi seperti Winlator tidak crash. Barulah emulasi boleh berjalan dengan baik

Setakat ini, isu ini hanya menghantui Winlator. Tiada masalah dengan aplikasi Gamehub.

Menukar nama pakej menggunakan aplikasi APK Explorer & Editor.

Kini tiba masanya untuk masuk ke alam permainan PC. Saya mulakan dengan Crysis, menggunakan aplikasi Winlator. Pada awalnya, mudah untuk mencapai sehingga 60 fps, tetapi apabila tiba ke satu adegan yang melibatkan pemandangan yang berlapisan tekstur dan lebih kompleks, prestasi akan turun ke 23-25 fps. Masih mantap kerana ditetapkan dengan tetapan grafik ‘High’. Suhu telefon menjadi suam setelah bermain selama 15-20 minit, tetapi masih boleh dipegang.

Crysis. Grafik ‘High’ (resolusi 720p), 35-65 fps.

Bagi Skyrim: Legendary Edition pula, walaupun prestasi cukup lancar, ada lagging kadangkala, dan juga ada sedikit masalah grafik glitching dan suara NPC tidak didengari. Hanya bunyi efek latar dan muzik dapat didengari. Bagi suhu pula, telefon cepat menjadi suam, dan lama-lama menjadi sedikit panas, tetapi masih boleh dipegang.

Skyrim: Legendary Edition. Grafik Medium (resolusi 720p), 60-80 fps.

Kita teruskan dengan permainan video yang lebih berat iaitu GTA 4. Untuk permainan video ini, saya menggunakan Gamehub kerana apabila saya menggunakan Winlator, ia kurang stabil dan akan gagal untuk terus beroperasi, dan Gamehub lebih stabil. Bagi saya, ia boleh dimainkan. Suhu telefon suam pada mulanya, dan selepas beberapa minit bermain, telefon menjadi panas, tetapi tidak sampai ke tahap boleh memasak telur di atas telefon. Pastinya bateri turun dengan cepat, tetapi masih lagi mengejutkan bahawa permainan video seperti ini boleh dimainkan.

GTA 4. Grafik Low (resolusi 720p), 30-50 fps.

Dalam kes Resident Evil 3 Remake, pada awalnya, saya dapat membukanya dan mendapat prestasi 16-45 fps, tetapi disebabkan saya terlupa untuk mengambil sebarang ‘screenshot’ sebelum ia gagal untuk beroperasi, maka saya hanya menyatakan pengalaman bermain permainan video ini ketika ia masih mampu dibuka.

Dalam adegan awal, ia kurang lancar, sehingga karakter utama masuk ke kawasan bandar.

Di situ, lagging amatlah teruk dan suhu telefon menjadi sangat panas sehingga saya terpaksa membuka casing telefon dan membiarkannya untuk kembali sejuk. Kiranya tidak boleh dimainkan.

Pada akhirnya, saya hanyalah seorang beginner dalam dunia emulasi permainan PC. Mungkin anda boleh mendapatkan prestasi yang lebih baik jika anda melakukan lebih lagi “hacking” dan mencari tetapan lain. Memakai ‘cooler attachment’ juga penting untuk memastikan prestasi terus lancar. Bak kata orang putih, “Your mileage may vary.” Emulasi permainan PC bukanlah semudah yang disangkakan.

Bagaimana Pula Spesifikasi Lain iQOO 15?

Skrin: 6.85 inci, LTPO AMOLED 144hz. Memang seronok melayan YouTube dan filem.

Speaker: Speaker Stereo. Bunyi cukup sedap, jelas, dan berkualiti untuk melayan lagu dan filem, walaupun kekurangan bass.

OS: Android 16 dengan perasa OriginOS 6. Pengalaman menggunakan OS ini setakat ini, tidak sempurna, tetapi cukup lancar. Ada beberapa aspek yang menyerupai iOS seperti efek kaca pada lockscreen, dan apabila anda menekan kulit album pada lagu yang sedang bermain di lockscreen, kulit album itu akan menjadi besar.

Kulit album menjadi besar apabila diklik.
Ada bloatware dan ‘app suggestion’.

Bateri: 7000mAh dengan pengecasan pantas 100W. Setakat ini, hayat bateri bukanlah yang terbaik, tetapi masih lagi boleh bertahan selama sehari setengah jika menggunakannya untuk melayari media sosial, menonton YouTube, mendengar lagu menggunakan earbuds wayarles, dan sedikit permainan video. Saya juga menggunakan tetapan refresh rate skrin pada 60hz untuk meningkatkan lagi hayat bateri.

Pengecasan wayarles: Pengecasan 40W, cukup baik. Ada juga ciri ‘reverse wireless charging’, iaitu mengecas peranti lain seperti earbuds yang menyokong ciri pengecasan wayarles.

Sambungan lain: WiFi 7, Bluetooth 6.0. Sambungan WiFi setakat ini amat laju, dan tiada masalah sambungan dengan earbuds saya.

Versi USB: USB 3.2. Boleh sambung HDMI, tetapi telefon ini tidak ada ‘desktop mode’ seperti Samsung Dex, jadinya hanya mampu ‘duplicate’ skrin dan tidak mampu ‘extend’ skrin untuk memenuhi skrin TV atau monitor yang disambungkan.

IP Rating: IP68/69. Selamat untuk dibawa masuk ke dalam air.

Kamera: Kualiti bukan yang terbaik, tetapi mencukupi. Boleh digunakan jika anda mahu mengambil gambar pemandangan dengan cepat. Dynamic Range biasa-biasa sahaja. Bagi kamera swafoto, dynamic range tidak sebaik kamera-kamera utama. Terdapat pemprosesan AI setelah menangkap gambar untuk membaiki lighting, warna, dan dynamic range dalam gambar.

Sampel Gambar Dari iQOO 15 5G:

Test tangkap gambar bangunan.
Test zoom sikit.
Test kamera ultrawide.
Test gambar low light.
Test selfie sikit.
Test selfie lagi.

Saya juga ada cuba merakam video OpenGate dengan menggunakan aplikasi Blackmagic Camera. Prestasi cukup memuaskan apabila mempunyai pencahayaan yang baik:

‘Dynamic light’: Terdapat lampu di sekeliling kamera belakang, yang boleh bertindak mengikut tetapan yang ditetapkan seperti notifikasi masuk, muzik yang bermain, dan ketika telefon sedang mengecas.

Lampu belakang mengikut rentak lagu.

Kesimpulan

iQOO 15 merupakan sebuah telefon tahap flagship yang cukup baik, terutama dari segi prestasi permainan video natif, emulasi konsol sehingga Nintendo Switch.

Aspek-aspek lain seperti kualiti bunyi stereo speaker, skrin AMOLED, USB 3.2, pengecasan wayarles, kalis air, kualiti kamera yang cukup memuaskan, dan bateri yang besar juga menyumbang kepada kelebihan telefon ini.

Walaupun OS telefon tidaklah sebaik telefon-telefon lain pada segmen harga ini disebabkan wujudnya bloatware, ia masih lagi lancar dan tidak lagging. Sangat optimized.

Tetapi, jika anda mengharapkan untuk melakukan emulasi permainan PC, saya tidak menggalakkan anda membeli telefon ini kerana terdapat beberapa isu yang telah saya hadapi seperti aplikasi Winlator gagal untuk berjalan lebih 5 minit jika saya tidak membuat sebarang “hacking”, dan prestasi yang tidak mencapai jangkaan saya walaupun sepatutnya cip dalam telefon ini mempunyai banyak driver support.

Bagi ketahanan suhu pula, walaupun iQOO memasarkan telefon ini dengan mengatakan ia dilengkapi sistem penyejukan 8K VC, ia hanyalah satu taktik pemasaran bagi saya kerana apabila bermain permainan video natif melebihi 30 minit, ia masih boleh menjadi suam, dan kadangkala boleh menjadi panas. Jadi, pemasaran seperti ini perlu dilihat dengan sedikit kesangsian.

Pada pendapat saya, telefon ini hanyalah untuk gamers yang banyak bermain permainan video natif dalam talian (online) kerana cip telefon ini masih lagi berkuasa, tetapi tidak cukup untuk mengendalikan emulasi permainan PC kerana dikatakan GPU telah di-underclock.

Jika anda ingin mengemulasi permainan PC, lebih baik anda mempertimbangkan jenama-jenama lain seperti REDMAGIC dan OnePlus.

Akhir kata, dengan tanda harga bermula pada RM3,699, iQOO 15 adalah satu telefon yang cukup baik secara keseluruhannya, tetapi jika anda mampu mendapatkannya pada harga kurang daripada RM3,000, ia sangatlah berbaloi.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress