Apple dijangka akan melancarkan versi baharu Siri yang tertunda pada musim bunga 2026, yang bermula sekitar Mac.
Menurut laporan Mark Gurman dari Bloomberg, Apple telah menetapkan “sasaran pelancaran dalaman” untuk tahun tersebut, selari dengan kenyataan yang diberikan oleh beberapa eksekutif Apple minggu ini.
Isu kualiti
Craig Federighi dan Greg Joswiak yang tampil dalam beberapa temu bual selepas WWDC 2025 mengakui masalah yang dihadapi Apple dengan Siri, dan mengesahkan bahawa syarikat itu kini merancang pelancarannya pada tahun 2026.
Menurut Apple, ujian dalaman mendapati ciri baharu Siri masih berdepan isu kualiti. Akibatnya, pelancaran terpaksa ditangguhkan dan menggantikan asas sistem Siri dengan seni bina yang lebih berkuasa bagi mengatasi masalah tersebut.
Daripada iOS 18.4 ke iOS 26.4
Pada asalnya, Apple merancang untuk melancarkan ciri peribadi Siri melalui kemas kini iOS 18.4. Namun, selepas penangguhan selama setahun, Apple kini merancang untuk memperkenalkannya dalam kemas kini iOS 26.4 yang dijangka tiba sekitar Mac atau April 2026.
Mungkin Dipratonton bersama iPhone 17
Gurman mendakwa jika beberapa minggu pembangunan akan datang menunjukkan hasil yang memberangsangkan, Apple mungkin akan memperlihatkan ciri baharu ini ketika pelancaran model iPhone 17 pada September nanti.
Namun begitu, tidak jelas sama ada Apple akan berbuat demikian memandangkan syarikat itu menerima kritikan hebat dan berdepan beberapa saman akibat kelewatan pelancaran ciri Siri tersebut.
Mungkin sebagai langkah berhati-hati, WWDC 2025 tidak menampilkan sebarang ciri yang hanya akan tersedia pada masa hadapan. Hampir semua yang diumumkan dalam acara utama telah pun tersedia dalam beta pembangun pertama.
Antara ciri Apple Intelligence untuk Siri yang masih dinantikan termasuk pemahaman konteks peribadi, kesedaran terhadap kandungan di skrin serta integrasi yang lebih mendalam dengan aplikasi.
{suggest}
Sumber: Bloomberg