Laporan terbaharu daripada The Information kini mendedahkan sebahagian besar kekacauan dalaman atau ‘drama’ yang berlaku di sebalik usaha Apple memperbaharui Siri menerusi Apple Intelligence.
Pilihan sistem backend Apple Intelligence
Apple dilapor telah mempertimbangkan beberapa pilihan bagi sistem backend untuk Apple Intelligence.
Salah satu idea awal adalah untuk membina dua model bahasa — satu berskala kecil yang dinamakan “Mini Mouse” untuk beroperasi secara lokal di iPhone, dan satu lagi berskala besar bernama “Mighty Mouse” yang berfungsi melalui perkhidmatan awan (cloud).
Namun, kepimpinan Siri kemudian memilih haluan berbeza dengan membangunkan satu model bahasa raya (LLM) untuk mengendalikan semua permintaan melalui awan. Beberapa perubahan teknikal seterusnya turut dilakukan.
Ketidaktentuan arah dan perubahan keputusan yang berulang dilaporkan telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan jurutera, sehingga mendorong sebahagian kakitangan meninggalkan Apple.
Kelemahan kepimpinan
Selain pendirian Apple yang sangat tegas terhadap privasi, pertembungan personaliti dalam kalangan kakitangan turut menyumbang kepada masalah yang timbul.
Lebih daripada enam bekas pekerja yang pernah berkhidmat dalam kumpulan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin (ML) Apple memberitahu The Information bahawa kelemahan kepimpinan menjadi punca utama kegagalan dalam pelaksanaan projek.
Mereka turut menyatakan budaya kerja yang terlalu santai, kurangnya cita-cita, serta keengganan untuk mengambil risiko dalam merangka versi baharu Siri.
“Dalam kalangan jurutera di Apple, budaya kerja yang santai dan masalah dalam pelaksanaan projek di kumpulan AI telah memberi mereka gelaran yang kurang menyenangkan, iaitu satu permainan kata berdasarkan singkatan nama mereka: AIMLess“, tulis Wayne Ma di The Information.
Kakitangan Apple juga dikatakan merujuk kepada Siri sebagai “hot potato” yang sentiasa dipindahkan antara pasukan berbeza tanpa sebarang penambahbaikan yang signifikan.
Konflik bayaran, cuti, waktu kerja
Terdapat juga konflik mengenai gaji yang lebih tinggi, kenaikan pangkat yang lebih cepat, cuti yang lebih panjang, dan waktu kerja yang lebih pendek bagi rakan sekerja dalam kumpulan AI.
Isu penggunaan model AI
Ketua AI Apple, John Giannandrea, dilaporkan yakin bahawa beliau boleh memperbaiki Siri dengan data latihan yang betul dan pengekstrakan web (web-scraping) yang lebih baik untuk mendapatkan jawapan kepada soalan pengetahuan am.
Namun, para pemimpin kanan tidak memberikan respons yang segera terhadap kemunculan ChatGPT pada tahun 2022; Giannandrea memberitahu kakitangan bahawa beliau tidak percaya chatbot seperti ChatGPT memberi banyak nilai tambah kepada pengguna.
Pada tahun 2023, pengurus Apple memberitahu jurutera bahawa mereka dilarang untuk memasukkan model dari syarikat lain dalam produk akhir Apple dan hanya dibenarkan menggunakannya untuk perbandingan dengan model mereka sendiri. Namun, model-model Apple sendiri “tidak berprestasi sebaik teknologi OpenAI”.
Tumpu kejayaan ‘kecil’
Sementara itu, ketua Siri Robby Walker pula dikatakan lebih memberi tumpuan kepada “kejayaan kecil” seperti mengurangkan masa menunggu untuk respons Siri. Salah satunya adalah menghapuskan perkataan “hey” daripada arahan suara “hey Siri” untuk mengaktifkan pembantu, yang memakan masa lebih dua tahun untuk dicapai.
Beliau juga menolak usaha sekumpulan jurutera untuk menggunakan LLM bagi memberikan Siri lebih kepekaan emosi supaya dapat mengesan dan memberi respons yang sesuai kepada pengguna.
Demo Siri di WWDC 2024 yang belum dibangunkan
Apple telah menerima banyak kritikan kerana mendemonstrasikan ciri-ciri AI pada WWDC tahun lalu yang kelihatan tidak mempunyai prototaip berfungsi.
Laporan The Information turut mendakwa bahawa demo Siri dengan ciri Apple Intelligence, seperti di mana Siri mengakses e-mel pengguna untuk mencari data penerbangan masa nyata, memberikan peringatan mengenai rancangan makan tengah hari menggunakan mesej, sebenarnya adalah rekaan semata-mata.
Namun, di kalangan ahli pasukan Siri di Apple, demo tersebut mengejutkan mereka. Mereka tidak pernah melihat versi berfungsi bagi keupayaan-keupayaan tersebut, menurut seorang bekas pekerja Apple. Pada masa itu, satu-satunya ciri baru dari demo yang diaktifkan untuk peranti ujian adalah reben berwarna-warni yang berdenyut-denyut yang muncul di tepi skrin iPhone apabila pengguna mengaktifkan Siri, kata bekas pekerja tersebut.
Kepimpinan Craig Federighi dijangka mampu pulihkan Siri
Beberapa pekerja Apple dikatakan optimis bahawa Craig Federighi dan Mike Rockwell dapat memulihkan Siri.
Federighi dilaporkan telah mengarahkan jurutera Siri untuk melakukan “apa sahaja yang diperlukan untuk membangunkan ciri-ciri AI terbaik”, walaupun itu bermaksud menggunakan model sumber terbuka daripada syarikat lain dalam produk perisian mereka berbanding model-model milik Apple sendiri.
Sementara pasukan AI/ML terus beroperasi di bawah Giannandrea, laporan tersebut memberi petunjuk bahawa lebih banyak pertembungan antara pasukan Federighi dan Giannandrea mungkin akan berlaku.
Untuk butiran lanjut mengenai kelewatan Siri oleh Apple, lihat laporan penuh The Information.
{suggest}
Sumber: The Information