ShopeePay Malaysia kini melancarkan Money+, ciri pelaburan baharu dengan kerjasama iFAST.
Dengan ciri ini, ia membolehkan baki dalam akaun Money+ dilaburkan untuk memperoleh potensi pulangan. Baki ini dilaburkan dalam Eastspring Investments Islamic E-Duit Fund, iaitu dana pasaran wang patuh Syariah yang diuruskan oleh Eastspring Malaysia dan diedarkan oleh iFAST.
ShopeePay berfungsi sebagai platform untuk memudahkan pengguna melabur dalam dana ini.
Shopee menekankan bahawa baki dalam akaun Money+ tidak sama seperti e-wang atau deposit. Pulangan mungkin berbeza, tidak dijamin dan modal pelaburan tidak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).
Semua pelaburan mempunyai risiko, termasuk risiko kehilangan sebahagian atau keseluruhan modal pelaburan.
Kelebihan Money+
- Potensi Pulangan Harian: Baki tersedia dalam Money+ berpotensi untuk menjana pulangan harian.
- Fleksibiliti dan Penggunaan Lancar: Boleh menggunakan baki dalam akaun Money+ secara langsung untuk transaksi harian dan pembayaran dalam talian/luar talian.
- Integrasi Lancar dengan ShopeePay: Baki Money+ akan digunakan secara automatik untuk tambah nilai ShopeePay eWallet sekiranya baki utama ShopeePay eWallet tidak mencukupi untuk transaksi.
- Penebusan Fleksibel: Pengguna mempunyai fleksibiliti untuk membuat permintaan penebusan bila-bila masa.

Cara melabur dengan Money+
Money+ tersedia melalui aplikasi Shopee dan ShopeePay untuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Amerika Syarikat.
Untuk mula melabur, pengguna perlu mendaftar dan mengesahkan akaun (eKYC) ShopeePay.

Amaun tambah nilai Money+?
Pengguna boleh menambah nilai Money+ pada bila-bila masa. Amaun minimum tambah nilai bagi setiap transaksi ialah RM10, sama ada menggunakan baki eWallet ShopeePay atau baki akaun bank melalui perbankan dalam talian.
Namun begitu, pengguna perlu menggunakan akaun bank yang didaftarkan atas nama sendiri untuk tambah nilai melalui perbankan dalam talian. Transaksi tambah nilai menggunakan akaun bank yang tidak didaftarkan atas nama sendiri tidak akan berjaya diproses.

Sementara itu, amaun maksimum tambah nilai dan had pegangan Money+ ialah RM20,000. Sekiranya baki Money+ melebihi had ini, pengguna akan terus menerima pulangan harian yang akan dikreditkan secara tunai ke dalam baki ShopeePay eWallet.
Pulangan harian dikira selepas yuran pengurusan 0.40% setahun dan yuran pemegang amanah 0.03% setahun. Tiada caj atau yuran tambahan untuk tambah nilai atau pengeluaran.
Tempoh bertenang Money+
Tempoh bertenang bagi Money+ ialah 6 hari bekerja dari tarikh tambah nilai pertama. Dalam tempoh ini, pelabur boleh memohon bayaran balik penuh bagi amaun tambah nilai pertama.
Kawal Selia
ShopeePay Malaysia dan pengedar dana iaitu iFAST dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Eastspring Investments Islamic E-Duit Fund diuruskan oleh Eastspring Investments Berhad yang turut dikawal selia oleh SC.
Untuk maklumat lanjut mengenai Money+, layari laman rasmi Shopee.
{suggest}
