Shopee kini memperkenalkan SPayLater Motorcycle, perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) yang direka khas untuk pembelian motosikal.
Perkhidmatan ini disediakan oleh Monee Capital Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai SeaMoney Capital Malaysia.
Melalui SPayLater Motorcycle, pengguna boleh menikmati fleksibiliti pembayaran ansuran bulanan antara 12 hingga 60 bulan.
Siapa yang layak untuk SPayLater Motorcycle?
Buat masa ini, SPayLater Motorcycle hanya tersedia untuk pengguna terpilih, dan akan diperluas secara berperingkat kepada lebih ramai pengguna. Untuk melayakkan diri, pengguna perlu memenuhi kriteria berikut:
- Warganegara Malaysia, Pemastautin Tetap atau anggota Angkatan Tentera Malaysia (memegang MyKad/MyPR/MyTentera yang sah)
- Berumur 18 hingga 65 tahun
- Pendapatan bulanan minimum RM1,000
- Pengguna Shopee dan ShopeePay yang telah disahkan
Dokumen untuk pengaktifan
Untuk pengaktifan, dokumen yang diperlukan termasuk kad pengenalan dan dokumen pendapatan tambahan:
- Pengguna bergaji – Penyata gaji terkini 1 bulan dan penyata KWSP/Borang BE terkini.
- Pengguna bekerja sendiri – borang pendaftaran perniagaan dan penyata bank syarikat/penyata e-dompet bagi 3 bulan terkini.
Untuk meningkatkan peluang kelulusan permohonan, pengguna digalakkan lebih aktif membuat pembelian di Shopee bagi mengukuhkan kredibiliti akaun.
Had SPayLater Motorcycle
Selepas pengaktifan SPayLater Motorcycle berjaya, pengguna akan diberikan had berasingan khusus untuk pembelian motosikal. Beberapa perkara penting termasuk:
- Kadar yuran pemprosesan 1.25% sebulan atau 15% setahun.
- Pengguna boleh pilih untuk meningkatkan bayaran pendahuluan (down payment) kepada pengedar bagi mengurangkan ansuran keseluruhan.
- Jumlah ansuran minimum RM3,000 untuk penggunaan SPayLater Motorcycle.
- Hanya satu transaksi SPayLater Motorcycle aktif pada satu masa.
- Baki had yang tidak digunakan tidak boleh dipindahkan untuk transaksi lain atau pembelian akan datang.
Cara aktifkan SPayLater Motorcycle
Ikut beberapa langkah di bawah untuk mengaktifkan SPayLater Motorcycle:
- Dalam aplikasi Shopee, pergi ke tab Saya (Me) dan klik pada Halaman Utama SPayLater.
- Pilih “SPayLater Motorcycle”.
- Klik pada “Semak Kelayakan Secara Percuma”.
- Sahkan “Kad Pengenalan”.
- Isikan maklumat tambahan.
- Muat naik Dokumen Pendapatan seperti yang diperlukan.
- Lakukan pengesahan wajah dan hantar permohonan.

Setiap permohonan akan disemak dalam tempoh dua hari bekerja (tidak termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum).
Senarai penuh jenama dan model motosikal yang layak
Antara jenama motosikal yang layak untuk SPayLater Motorcycle termasuk Aprilia, Aveta, Benelli, Brixton, CF Moto, CMC, Hanway, Honda, Kawasaki, Keeway, KTM, KYMCO, Lambretta, Moda, Modenas, QJ Motor,Royal Alloy, Suzuki, SYM, Vespa, Yamaha dan lain-lain.
Berikut merupakan senarai penuh model motosikal yang dikemas kini setakat 25 November 2025.
Perlu diketahui, SPayLater Motorcycle hanya boleh digunakan untuk pembelian motosikal daripada pengedar yang mengambil bahagian. Senarai penuh lebih 160 pengedar motosikal boleh dirujuk melalui pautan INI.
{suggest}











