Pertumbuhan pesat dalam set data AI memberikan tekanan terhadap memori GPU yang tersedia ketika ini.
Keperluan terhadap memori berkelajuan tinggi seperti High Bandwidth Memory (HBM) semakin meningkat dalam mengendalikan model AI yang semakin kompleks.
Jadi, bagi memenuhi keperluan mendesak ini, NVIDIA dan KIOXIA mengumumkan kerjasama baharu yang berpotensi mengubah cara sistem kecerdasan buatan (AI) mengendalikan set data berskala besar.
Melalui integrasi teknologi NVIDIA SCADA (Scaled Accelerated Data Access) dan Storage-Next dengan SSD NVMe berprestasi tinggi keluaran Kioxia, data yang sebelum ini terhad oleh kapasiti HBM kini boleh diakses dengan lebih cekap dengan keupayaan yang boleh diakses oleh sistem AI melepasi 1 petabait.
NVIDIA membangunkan SCADA yang membolehkan SSD NVMe berkelajuan tinggi digunakan sebagai lanjutan kepada memori GPU.
Dalam demonstrasi konsep yang dijalankan, kedua-dua syarikat berjaya menunjukkan potensi untuk memperluaskan kapasiti memori efektif melebihi 1 petabait (PB) serta menyokong pemprosesan sehingga dua trilion vektor data.
Penyelesaian yang dicadangkan menggabungkan sistem NVIDIA GB200 NVL72 dengan 144 unit SSD KIOXIA XD8 Series berkapasiti 7.68TB setiap satu.
Konfigurasi ini membolehkan sistem menyediakan kira-kira 1.1PB kapasiti storan mentah dan hampir 60TB memori berasaskan storan bagi setiap nod.
Kerjasama ini berpotensi membuka jalan kepada pembangunan infrastruktur AI generasi baharu yang mampu mengendalikan set data berskala petabait dengan lebih cekap tanpa bergantung sepenuhnya kepada memori GPU tradisional.
