Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
SIRIM Label Verification Setup

Beli Peralatan Elektrik ‘Online’? Semak 3 Perkara Ini Dahulu

Diterbitkan November 27, 2026 · Dikemas kini November 27, 2026 oleh Amalina Athman

Pembelian peralatan elektrik secara dalam talian menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna, termasuk harga yang lebih murah. Namun, aspek keselamatan dan kelulusan produk tetap perlu diberi perhatian sebelum membuat pembelian.

Malah, isu penjualan produk import tanpa pensijilan di platform e-dagang turut mendapat perhatian kerajaan yang kini sedang meneliti langkah untuk menangani perkara tersebut.

Bagi pengguna, antara langkah yang boleh dilakukan ialah menyemak status kelulusan peralatan elektrik sebelum membeli, selain memastikan produk yang diterima mempunyai tanda pensijilan keselamatan yang sewajarnya.

Berikut beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menyemak kelulusan barangan elektrik sebelum dan selepas membuat pembelian secara dalam talian.

Semak kelulusan produk melalui portal Suruhanjaya Tenaga

Sebelum membuat pembayaran, pengguna boleh menyemak sama ada model peralatan elektrik yang ingin dibeli tersenarai dalam rekod kelulusan Suruhanjaya Tenaga (ST) menerusi portal carian kelengkapan elektrik ST.

Portal ini menyediakan senarai pelbagai kelengkapan elektrik yang tertakluk kepada kawal selia ST, termasuk penyaman udara, peti sejuk, kipas, mesin basuh, lampu, suis, soket, adapter, pengecas dan pelbagai peralatan elektrik lain.

Untuk membuat semakan, pilih kategori produk yang berkaitan pada ruangan “Category Name”, kemudian masukkan jenama serta nombor model produk dan tekan butang “Search”.

semak kelulusan Suruhanjaya Tenaga

Pastikan nombor model yang digunakan sepadan dengan produk yang ingin dibeli kerana nama jenama sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan kelulusan sesuatu produk.

Periksa label atau tanda pensijilan SIRIM pada produk

Selepas produk diterima, pengguna juga disarankan memeriksa sama ada terdapat label ST-SIRIM atau SIRIM Certification Mark pada kelengkapan elektrik berkenaan.

Berdasarkan Guidelines for the Approval of Electrical Equipment (2024 Edition) oleh ST, semua kelengkapan elektrik terkawal yang mendapat kelulusan perlu mempunyai label atau tanda pensijilan mengikut kaedah yang ditetapkan di bawah Peraturan 98, Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

SIRIM baru
Label ST-SIRIM baharu dengan kod QR (berkuat kuasa Februari 2022)
SIRIM lama
Label ST-SIRIM lama

Apa yang penting, label atau tanda pensijilan tersebut perlu terdapat pada kelengkapan elektrik itu sendiri dengan jelas, dan bukan sekadar pada kotak atau bungkusan produk.

Semak kod QR pada label SIRIM

Bagi label ST-SIRIM baharu yang diperkenalkan sejak Februari 2022, terdapat kod QR dan nombor siri yang boleh digunakan untuk membuat semakan melalui aplikasi SIRIM QAS.

Namun, ketiadaan kod QR pada label bukanlah bermakna produk tersebut tidak mempunyai kelulusan. Sebaliknya, label ST-SIRIM lama masih terpakai.

Pengguna mempunyai dua pilihan untuk melakukan semakan tersebut. Pertama, mengimbas kod QR pada label menggunakan fungsi QR Scan dalam aplikasi. Kedua, memasukkan nombor siri yang tertera pada label secara manual pada ruangan “Enter Serial Number”, sebelum menekan butang “Search”.

Semak SIRIM

Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play Store atau Apple App Store.

Sebagai langkah tambahan, pengguna juga disarankan menyemak polisi pemulangan platform e-dagang sebelum membuat pembelian, termasuk sama ada pesanan tersebut layak mendapat pemulangan percuma.

Sekiranya produk yang diterima tidak menepati maklumat penjual atau status kelulusannya meragukan, pengguna boleh memohon pemulangan dan bayaran balik mengikut syarat yang ditetapkan oleh platform tersebut.

Dengan menyemak nombor model sebelum membeli serta memeriksa label dan nombor siri selepas menerima produk, pengguna dapat mengurangkan risiko terbeli atau menggunakan kelengkapan elektrik yang tidak memenuhi keperluan kelulusan keselamatan di Malaysia.

Berkaitan

  • Tambah Kad HLB Visa Ke Apple Pay, Pengguna Baharu Berpeluang Dapat 'Cashback'
  • Kerajaan Teliti Langkah Tangani Jualan Produk Import Tidak Bersijil Di Platform E-Dagang

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Cara Pindahkan Mata Ganjaran Kad Mesra Lama Ke Aplikasi Setel
  • Penyelidik Jepun Cipta “Planimal”, Sel Hibrid Gabungan Dari Sel Tumbuhan Dan Haiwan
  • NVIDIA Dan KIOXIA Bekerjasama Uji Sistem AI Dengan 1.1 Petabait SSD
  • Cara 'Schedule Message' WhatsApp
  • (Ulasan) Nothing Headphone (1) Pro — Hampir Mencapai Tahap 'Pro' Sebenar
  • Lenovo Legion Go Beam Dilapor Akan Menjalankan Sistem Android
  • Ini Jumlah Kepala Peledak Nuklear Yang Dilaporkan Wujud Di 9 Negara Setakat Ini
©2026 WISER.MY