Sekumpulan penyelidik dari Jepun diidakwa berjaya mencipta sel hibrid yang menggabungkan ciri tumbuhan dan haiwan, sekali gus mencatatkan pencapaian yang disifatkan sebagai yang pertama di dunia.
Kajian itu melibatkan kerjasama penyelidik dari Universiti Tokyo, Institut Sains Tokyo, Universiti Kindai dan beberapa institusi lain.
Hasil kajian tersebut telah diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature Communications.
Sel hibrid yang dinamakan sebagai “planimal” itu dihasilkan dengan menggabungkan alga bersel tunggal primitif, Cyanidioschyzon merolae, dengan sel haiwan yang dibiakkan di makmal.

Menurut penyelidik, keseluruhan DNA alga tersebut berjaya dimasukkan ke dalam kromosom sel haiwan, menjadikannya satu pencapaian penting dalam bidang bioteknologi.
Walaupun mengandungi bahan genetik tumbuhan, sel yang terhasil masih bertindak seperti sel haiwan.
Ini kerana gen-gen daripada alga berkenaan tidak aktif, manakala kloroplas yang bertanggungjawab menjalankan fotosintesis turut merosot selepas proses penggabungan dilakukan.

Bagaimanapun, pasukan penyelidik berharap mereka dapat mengaktifkan semula komponen tumbuhan itu pada masa hadapan.
Jika berjaya, sel hibrid tersebut berpotensi menjalankan fotosintesis, menghasilkan oksigen serta mencipta sumber tenaga sendiri.
Pencapaian ini boleh membuka peluang baharu dalam penghasilan ubat-ubatan, bioteknologi industri dan pembangunan daging kultur.
Walaupun kadar kejayaan eksperimen masih rendah, sel hibrid yang dihasilkan didapati stabil dan mampu membiak melebihi 150 generasi.
Dengan menggabungkan kelebihan tumbuhan dan haiwan dalam satu sel, saintis membayangkan sistem pengeluaran yang lebih cekap dan mampan untuk digunakan dalam pelbagai aplikasi perubatan dan pengeluaran makanan masa depan.
