Sarawak kini memperkenalkan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan.
Dibangunkan oleh Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd, modul kuasa keteq.GaN itu dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Keteq.GaN dibangunkan bagi kegunaan elektronik kuasa generasi akan datang, termasuk infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), grid pintar serta teknologi pengubah keadaan pepejal pada masa hadapan.
Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Patinggi Abang Zohari berkata pembangunan berkenaan mencerminkan perubahan penting peranan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor, khususnya dalam usaha negeri membangunkan teknologi dan harta intelek sendiri.
Tambahnya, pembangunan keteq.GaN membuktikan keupayaan Sarawak untuk bergerak melangkaui bidang pembuatan semikonduktor dengan menghasilkan teknologi sendiri untuk kegunaan industri serta pasaran di luar negeri.
Dalam pada itu, Pengerusi SMD Semiconductor merangkap Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, berkata pelancaran keteq.GaN menjadi satu lagi pencapaian dalam perkembangan syarikat yang ditubuhkan empat tahun lalu.
Katanya, tumpuan kini adalah untuk membawa teknologi yang dibangunkan itu daripada peringkat reka bentuk kepada aplikasi sebenar, di samping memastikan pembangunan teknologi tersebut dapat memberi nilai lebih luas kepada ekosistem semikonduktor Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil, pula berkata keteq.GaN dibangunkan bagi memenuhi keperluan aplikasi elektronik kuasa yang semakin memberi tumpuan kepada kecekapan serta pengurusan tenaga.
Susulan pelancaran itu, SMD Semiconductor dengan kerjasama Microelectronics Research and Development Institute (MRDI) Hong Kong dan Gobi Partners turut mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri.
{suggest}


