Sarawak Energy memperkenalkan Seri Batang Ai, bot elektrik (e-boat) pertamanya yang dibina khas dengan sokongan panel solar untuk kegunaan operasi di Loji Hidroelektrik Batang Ai. Bot ini mempunyai jarak operasi dianggarkan antara 40 hingga 50 kilometer dan boleh membawa sehingga 12 penumpang.
Dihasilkan oleh syarikat tempatan Global Fibreglass Industries, bot sepanjang 10 meter ini menampilkan seni bina sistem pendorongan elektrik dan susun atur komponen marin yang dibangunkan oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sarawak Energy.
Seri Batang Ai dilengkapi dua motor sangkut (outboard motors) elektrik 40kW setiap satu, dengan jumlah output 80kW. Ia turut menggunakan sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 92kWh, manakala panel solar berkapasiti 3.6kWp yang dipasang pada bumbung membantu menambah bekalan tenaga kepada bateri. Pengecasan melalui grid elektrik turut disediakan.
Dengan sistem tersebut, bot elektrik ini mempunyai jarak operasi sekitar 40 hingga 50 kilometer dan tempoh operasi dianggarkan antara tiga hingga empat jam. Ia boleh mencapai kelajuan maksimum 25 km/j serta membawa sehingga 12 penumpang berdaftar.

Berbanding bot konvensional yang menggunakan bahan api fosil, sistem pendorongan elektriknya tidak menghasilkan pelepasan ekzos secara langsung. Penggunaan motor elektrik juga mengurangkan bunyi dan getaran, sekali gus membantu meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar dan biodiversiti di kawasan sekitarnya.
Menurut Sarawak Energy, e-boat ini dibangunkan khusus untuk menyokong pelbagai operasi di Loji Hidroelektrik Batang Ai, termasuk pemeriksaan keselamatan empangan, pemantauan alam sekitar dan pengangkutan kakitangan merentasi kawasan tersebut. Ia juga akan digunakan untuk membawa kakitangan serta pelawat, termasuk untuk lawatan teknikal ke ladang solar terapung Batang Ai yang terletak berhampiran.

Pembangunan Seri Batang Ai meneruskan inisiatif e-Penambang Sarawak Energy, yang sebelum ini melibatkan pengubahsuaian bot konvensional kepada bot elektrik sebelum dikembangkan kepada pembangunan bot kerja elektrik yang dibina khusus.
Untuk rekod, Seri Batang Ai mula diperlihatkan kepada umum semasa sambutan ulang tahun ke-40 Loji Hidroelektrik Batang Ai pada 2025. Sarawak Energy kemudian menerima Lesen Bot dan Permit Pengangkutan Sungai (RTP) bagi bot berkenaan pada 21 Oktober, sebelum majlis penamaan rasminya diadakan semalam.
