Roblox kini memperkenalkan Build, ciri berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan pengguna mencipta versi asas sesebuah permainan secara terus daripada aplikasi mudah alih Roblox tanpa memerlukan pengalaman membangunkan permainan atau kemahiran pengaturcaraan.
Dengan ciri baharu ini, pengguna tidak lagi perlu bermula sepenuhnya dari kosong. Mereka hanya perlu menerangkan idea permainan yang diinginkan, dan Build akan membantu menghasilkan versi awal yang boleh diubah suai, diuji serta dikongsi bersama pengguna lain.
Sebagai contoh, pengguna boleh memberikan arahan untuk menghasilkan permainan pengembaraan santai dalam hutan lengkap dengan halangan tertentu. AI kemudiannya akan mencipta asas dunia permainan tersebut untuk dikembangkan lagi oleh pencipta.
Menurut Roblox, Build dibangunkan untuk meneruskan konsep asal platform itu sejak dilancarkan 20 tahun lalu iaitu “Anda buat permainan itu”. Sebelum ini, pembangunan permainan biasanya memerlukan kemahiran teknikal dan dilakukan oleh studio profesional, tetapi Roblox mahu membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk mencipta pengalaman permainan sendiri.
For 20 years, Roblox has been on a mission to remove limits on what gaming is – and what it can be.
Today, we're introducing Build – a new way for anyone to create a game on Roblox from their phone. And we’re expanding AI-powered tools for developers of every level.
We're doing…— David Baszucki (@DavidBaszucki) July 16, 2026
Build turut melengkapkan Roblox Studio. Sebelum ini, pengguna perlu menggunakan aplikasi Roblox Studio di komputer Mac atau PC untuk membangunkan permainan. Kini, pengguna boleh memulakan projek melalui aplikasi mudah alih sebelum meneruskan proses pembangunan menggunakan fungsi lebih lengkap dalam Studio.
Alat ini menggunakan beberapa model AI termasuk model sumber terbuka dan model milik Roblox sendiri yang dilatih menggunakan data berkaitan permainan serta model 3D. Ia boleh membantu menghasilkan elemen seperti persekitaran, watak, gaya visual, bunyi dan objek 3D yang boleh digunakan dalam permainan.
Sebahagian pihak bimbang teknologi ini boleh menyebabkan lambakan permainan yang dihasilkan secara automatik, berulang atau kurang berkualiti kerana sesiapa sahaja kini boleh mencipta game dalam masa yang singkat.
Bagi mengelakkan perkara itu, Roblox berkata sistem penemuan permainannya akan terus memberi keutamaan kepada permainan yang mampu mengekalkan minat pemain. Permainan yang tidak mendapat sambutan tidak akan dipaparkan secara meluas walaupun ia dihasilkan menggunakan AI.
Selain Build, Roblox juga sedang membangunkan beberapa ciri AI lain untuk membantu pembangun, termasuk ejen AI yang boleh menguji permainan serta menyediakan analisis berkaitan prestasi sesuatu permainan.
Ketersediaan
Ciri Build akan memasuki fasa ujian alpha terbuka pada 28 Julai untuk pengguna di New Zealand berumur 9 tahun ke atas yang telah mengesahkan umur mereka. Pengguna berusia 16 tahun ke atas pula akan diberikan akses untuk menerbitkan permainan ciptaan mereka kepada komuniti global.
Roblox turut menyediakan versi asas Build secara percuma, manakala beberapa fungsi tambahan akan ditawarkan melalui pilihan berbayar.
{suggest}




