Sebahagian besar pengguna Windows di seluruh dunia masih menggunakan Windows 10, meskipun sokongan teknikal dan kemas kini keselamatan untuk sistem operasi ini akan ditamatkan pada 14 Oktober 2025. Tanpa kemas kini rasmi, berjuta-juta peranti akan terdedah kepada ancaman siber serius.
Risiko Apabila Sokongan Ditamatkan
Data terkini menunjukkan 62% peranti di seluruh dunia masih bergantung pada Windows 10, termasuk 65% di Jerman. Namun, dengan Microsoft menghentikan semua kemas kini keselamatan selepas tarikh tersebut, sistem ini berpotensi menjadi sasaran mudah serangan siber seperti perisian hasad, penggodaman, dan pencurian data.
Thorsten Urbanski, pakar keselamatan daripada ESET, memberi amaran bahawa risiko ini akan memberi kesan besar kepada pengguna peribadi dan perniagaan yang gagal mengambil langkah awal untuk melindungi sistem mereka.
Halangan Menaik Taraf ke Windows 11
Walaupun Windows 11 telah dilancarkan sejak 2021, hanya 30% pengguna berjaya beralih ke sistem ini. Antara sebab utama ialah keperluan perkakasan yang ketat seperti modul keselamatan TPM 2.0 dan pemproses terkini, yang menyebabkan berjuta-juta peranti lama tidak layak dinaik taraf.
Sebahagian pengguna juga menghadapi masalah teknikal semasa proses naik taraf, manakala mereka yang sudah layak masih ragu-ragu untuk beralih kerana kebiasaan menggunakan Windows 10.
Sebelum ini pun, Microsoft telah menyelesaikan isu berkaitan naik taraf Windows di mana lebih banyak komputer yang boleh beralih ke Windows 11. Namun, ia masih tidak mencukupi.
Pilihan Pengguna Selepas Tamat Sokongan
Beli Kemas Kini Tambahan
-
- Perniagaan boleh melanggan kemas kini keselamatan lanjutan pada harga $61 (~RM274) setiap peranti untuk tahun pertama, namun kosnya akan meningkat setiap tahun.
- Pengguna individu pula boleh membeli kemas kini kritikal selama setahun pada harga $30 (~RM135).
Gunakan ‘Patch’ Tidak Rasmi
-
- Penyedia pihak ketiga seperti 0patch menawarkan kemas kini keselamatan untuk Windows 10 sehingga 2030, tetapi ia bukan solusi rasmi daripada Microsoft.
Tukar ke Peranti Baharu
-
- Ramai pengguna dijangka beralih kepada PC atau komputer riba baharu yang dilengkapi Windows 11 menjelang tarikh tamat sokongan.
Dengan majoriti pengguna masih bergantung pada Windows 10, tarikh tamat sokongan 14 Oktober 2025 bakal menjadi cabaran besar bagi mereka yang belum bersedia. Penting untuk mengambil langkah awal seperti menaik taraf ke Windows 11, membeli kemas kini tambahan, atau menggantikan peranti dengan yang lebih baharu untuk melindungi sistem anda daripada ancaman siber.
{suggest}