Kerajaan hari ini melancarkan portal Rakyat Digital versi baharu, yang kini diperluaskan dengan menghimpunkan pelbagai inisiatif pembelajaran dan kemahiran digital dalam satu platform.
Dibawakan oleh Kementerian Digital melalui MyDIGITAL Corporation, Rakyat Digital merupakan Hab Pembelajaran Digital Malaysia yang menyediakan akses kepada pengetahuan, kemahiran dan alat digital bagi membantu rakyat menghadapi keperluan ekonomi digital yang semakin berkembang.
Berbeza dengan platform Rakyat Digital sebelum ini yang lebih tertumpu kepada pembelajaran literasi digital, versi baharu ini menggabungkan beberapa hab dan program dalam satu platform. Platform asal masih dikekalkan, tetapi kini dikenali sebagai Hab Literasi Digital.
Antara yang diperkenalkan ialah Hab Kemahiran Digital, yang menghimpunkan kursus berkaitan kemahiran digital teknikal dan bukan teknikal daripada pelbagai penyedia latihan. Pengguna boleh membuat perbandingan dan memilih kursus yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran atau kerjaya masing-masing.
Rakyat Digital turut menyediakan Program Kepimpinan Digital Eksekutif dengan kerjasama Asia School of Business (ASB), yang memberi tumpuan kepada transformasi digital untuk pemimpin dan pengurusan C-suite dalam sektor awam serta swasta.
Inisiatif ini digerakkan melalui pendekatan 3A, iaitu Kesedaran (Awareness) menerusi Hab Literasi Digital yang menawarkan kursus percuma, Akses (Access) melalui Hab Kemahiran Digital yang menyediakan kursus percuma dan berbayar serta Pas Pembelajaran Global, dan Penerimagunaan (Adoption) menerusi Hab Pembina AI, Hab Alat Digital serta program penilaian keupayaan.
Program AI Untuk Rakyat
Selain menyediakan laluan pembelajaran digital, Rakyat Digital turut menjadi platform bagi pelaksanaan Program AI Untuk Rakyat, yang menawarkan akses dan langganan platform AI secara percuma selama tiga bulan kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun.

Seperti diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, tawaran tersebut diberikan kepada peserta yang melengkapkan dan lulus 5 modul kursus yang ditetapkan.
Antara modul yang ditawarkan termasuk Keselamatan AI, Cyber SAFE, Agentic AI, Generatif AI dan Cloud Untuk Rakyat. Program ini akan dibuka secara percuma mulai 31 Ogos 2026 dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 belia.
Pas Pembelajaran Global Coursera
Pada masa sama, Rakyat Digital turut menawarkan Pas Pembelajaran Global yang memberikan akses percuma selama tiga bulan ke platform Coursera kepada 100,000 rakyat Malaysia secara berfasa.
Menerusi pas ini, peserta turut mendapat akses kepada pelbagai kursus dan Sijil Profesional bertaraf dunia yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Kohort pertama melibatkan 25,000 lesen dan akan bermula pada 16 September 2026.
Kesemua inisiatif ini menyokong sasaran Teras 4 (Bakat Digital) dan Teras 5 (Masyarakat Digital) di bawah Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030), termasuk usaha memastikan 80% populasi celik digital serta melahirkan 700,000 pekerja yang dilatih semula.
Portal Rakyat Digital kini boleh diakses melalui laman rasmi rakyatdigital.gov.my, bagi rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan akses kepada pembelajaran berkaitan kemahiran digital dan AI.
{suggest}


