POCO hari ini memperkenalkan POCO F9 Ultra dan POCO F9 Pro sebagai model baharu siri F untuk pasaran global, termasuk Malaysia.
Kedua-dua model ini menampilkan cip flagship bersama cip pemprosesan visual VisionBoost D8, dengan sokongan permainan sehingga 185FPS pada judul terpilih. Siri ini turut membawa paparan 185Hz, kamera utama 200MP dan pengecasan pantas 100W, manakala F9 Ultra menawarkan bateri sehingga 8,050mAh.
POCO F9 Ultra
POCO F9 Ultra tampil sebagai model paling berkuasa dalam siri ini dengan Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang digandingkan bersama cip khusus VisionBoost D8. Ia turut menggunakan sistem penyejukan 3D IceLoop bagi membantu mengawal haba ketika penggunaan berintensiti tinggi.

Gabungan kedua-dua cip tersebut membolehkan telefon ini menyokong permainan sehingga 185FPS pada judul terpilih. Menurut POCO, lebih 20 judul menyokong 185FPS secara natif, manakala lima lagi boleh mencapai kadar tersebut melalui interpolasi bingkai.

Ia hadir dengan skrin 6.9-inci POCO HyperRGB AMOLED yang menyokong kadar segar semula sehingga 185Hz dan resolusi 2608 × 1200. Panel ini turut menggunakan bahan paparan M11 dengan kecerahan puncak sehingga 4,500 nits dalam pelbagai senario dan sehingga 10,000 nits untuk kandungan HDR.
Dari segi memori, POCO F9 Ultra menggunakan LPDDR5X pada 9600Mbps bersama storan UFS 4.1. Ia ditawarkan dalam tiga konfigurasi, iaitu 12GB+256GB, 16GB+512GB dan 16GB+1TB.
Untuk fotografi, F9 Ultra dilengkapi kamera utama 200MP dengan OIS, kamera telefoto periskop 50MP 5x dengan OIS dan 50MP ultra lebar. Kamera telefoto ini turut menyokong 10x lossless zoom dan AI Ultra Zoom sehingga 20x. Kamera hadapan pula beresolusi 32MP.

Baterinya berkapasiti 8,050mAh, iaitu kapasiti terbesar dalam siri POCO F. Ia menyokong pengecasan 100W berwayar dan 50W wayarles, selain pengecasan berbalik sehingga 27W secara berwayar dan 22.5W secara tanpa wayar. Port USB Type-C pula menyokong USB 3.2 Gen 1, standard pengecasan QC dan PD, serta ciri Smart Charging.

Lain-lain termasuk sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0 dengan dwi-Bluetooth, NFC penarafan IP68, serta pembesar suara stereo simetri dengan subwoofer berasingan yang turut menampilkan teknologi Sound by Bose. Telefon ini menjalankan Xiaomi HyperOS 3 serta ditawarkan dalam pilihan warna Dark Cherry dan Black.

POCO F9 Pro
POCO F9 Pro pula menggunakan cip baharu Snapdragon 8 Elite Gen 5, V Series bersama cip VisionBoost D8 dan sistem penyejukan POCO 3D IceLoop. Ia ditawarkan dengan pilihan memori 12GB LPDDR5X bersama storan 256GB atau 512GB UFS 4.1.

Telefon ini turut menyokong permainan sehingga 185FPS, selain menggunakan skrin 6.59-inci POCO HyperRGB AMOLED 185Hz dengan resolusi 2510 × 1156. Paparannya juga menggunakan panel M11 dan menawarkan kecerahan sehingga 4,500 nits dalam pelbagai senario serta 10,000 nits untuk kandungan HDR.

Bagi kamera, F9 Pro membawa kamera utama 200MP dengan OIS, telefoto 50MP 2.5x dengan OIS dan 8MP ultra lebar. Kamera telefoto tersebut mempunyai jarak fokus minimum 10cm, membolehkannya digunakan untuk rakaman super makro. Kamera hadapan pula 32MP.
Untuk kuasa, F9 Pro dilengkapi bateri 6,330mAh yang menyokong pengecasan 100W berwayar dan 50W tanpa wayar. Ia juga menyokong pengecasan berbalik sehingga 27W secara berwayar dan 22.5W wayarles. Port USB Type-C pada model ini turut menyokong USB 3.2 Gen 1 serta standard QC dan PD, dengan ciri Smart Charging.
Seperti F9 Ultra, model ini juga dilengkapi sokongan Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0 dengan dwi-Bluetooth, NFC, penarafan IP68, serta pembesar suara stereo simetri yang turut menampilkan teknologi Sound by Bose. Telefon ini menjalankan Xiaomi HyperOS 3 serta ditawarkan dalam pilihan warna White, Black dan Aurora Green.
Harga dan ketersediaan
Untuk pasaran Malaysia, POCO F9 Ultra ditawarkan pada harga berikut:
- 12GB+256GB: RM3,599 (harga promosi RM3,299)
- 16GB+512GB: RM3,999 (harga promosi RM3,699 )
- 16GB+1TB: RM4,799 (harga promosi RM4,399)

Sementara itu, POCO F9 Pro ditawarkan pada harga:
- 12GB+256GB: RM3,299 (harga promosi RM2,799)
- 12GB+512GB: RM3,499 (harga promosi RM3,099)

Promosi pengenalan berlangsung dari 1 hingga 16 September 2026. Pembeli F9 Ultra akan menerima POCO Pad C1 (4GB+64GB) secara percuma, manakala pembeli F9 Pro akan menerima Xiaomi Smart Band 10 Pro.
Kedua-dua model turut disertakan waranti dua tahun, penggantian skrin dalam tempoh enam bulan serta akses Google AI Pro dan YouTube Premium selama tiga bulan.
Di Malaysia, siri POCO F9 boleh dibeli melalui mi.com serta kedai rasmi POCO di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
{suggest}



