Pengguna masih boleh membuat pembelian dan tempahan tiket bas ekspres menggunakan platform atau kaedah sedia ada sepanjang tempoh peralihan, susulan keputusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk melaksanakan peraturan baharu penjualan tiket bas ekspres secara berfasa.
Menerusi peraturan yang diumumkan sebelum ini, kerajaan mewajibkan semua penjualan tiket bas ekspres diselaraskan melalui terminal bas yang dilesenkan APAD serta platform jualan dalam talian pengendali bas ekspres berdaftar.
Bagaimanapun, peraturan yang pada asalnya dijadualkan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 November 2026 itu kini akan dilaksanakan secara berfasa, dengan tarikh tersebut ditetapkan sebagai permulaan tempoh peralihan.
Pendekatan ini membolehkan proses peralihan dilakukan secara terancang dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan teknikal dan operasi semua pihak, selain keperluan penyelarasan antara terminal bas, pengendali bas ekspres dan platform jualan tiket dalam talian.
Pelaksanaan peraturan penjualan tiket bas ekspres di terminal berlesen dan platform dalam talian pengendali berdaftar akan dilaksanakan secara berfasa (soft landing).
Pembelian tiket masih boleh dibuat melalui kaedah sedia ada sepanjang tempoh peralihan.@MOTMalaysia #apad pic.twitter.com/1vYWmqc0da
— APADchannel (@APADchannel) November 5, 2026
Menurut APAD, pendekatan secara berfasa atau soft landing ini bertujuan memberikan tempoh peralihan yang munasabah dan ruang secukupnya kepada pihak terlibat untuk membuat persediaan teknikal. Antaranya termasuk penyesuaian sistem tiket, integrasi platform digital dan penyelarasan proses operasi antara pihak terlibat.
Bagi pembelian tiket yang telah dibuat secara dalam talian, pengguna perlu mendapatkan pengesahan dan membuat penyelarasan berkaitan perjalanan menerusi pihak terminal bas berlesen atau saluran/platform pembelian tiket berkenaan, mengikut tatacara yang ditetapkan.
