OpenAI hari ini memperkenalkan ChatGPT Health, satu bahagian khusus dalam ChatGPT yang membolehkan pengguna bertanya soalan berkaitan kesihatan.
Menurut OpenAI, Health dibangunkan dengan pelbagai lapisan perlindungan dan penyulitan, serta beroperasi sebagai ruang berasingan dengan tahap privasi dipertingkat untuk menjaga data sensitif.
Data dalam Health tidak digunakan untuk melatih model asas OpenAI, dengan sejarah sembang dan ciri memori diasingkan sepenuhnya daripada perbualan ChatGPT yang lain.

Untuk respons yang lebih diperibadikan, pengguna juga boleh menyambungkan aplikasi kesejahteraan seperti Apple Health, Function dan MyFitnessPal.
Selain itu, ChatGPT Health juga dapat diintegrasikan dengan rekod perubatan, membolehkan ia menganalisis keputusan ujian makmal dan aspek lain dalam sejarah perubatan pengguna untuk memberi jawapan lebih tepat bagi soalan berkaitan kesihatan.
ChatGPT Health can help you navigate everyday questions and spot patterns over time, so you feel more informed, prepared, and confident for important medical conversations. pic.twitter.com/UK6U4OosDn
— OpenAI (@OpenAI) January 7, 2026
OpenAI menekankan bahawa ChatGPT Health bukan bertujuan untuk memberikan diagnosis atau rawatan. Sebaliknya, ia direka untuk menyokong pengguna dengan membantu memahami corak kesihatan seperti keputusan ujian dalam bahasa mudah difahami, menyediakan soalan sebelum janji temu perubatan, atau mentafsir data daripada peranti boleh pakai dan aplikasi kesejahteraan.
Pengguna pelan ChatGPT Free, Go, Plus dan Pro kini boleh menyertai senarai menunggu untuk mula menggunakan ChatGPT Health. Akses akan diperluaskan kepada semua pengguna web dan iOS dalam beberapa minggu akan datang.
{suggest}
