Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan dilaksanakan sepenuhnya pada September ini, seiring pengenalan MyKad dengan peningkatan ciri keselamatan yang dijadualkan bermula Jun.
Memetik laporan Bernama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan ini menjadi detik penting bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkemas pengurusan identiti negara serta memastikan pergerakan rakyat dapat diuruskan secara lebih lancar dan teratur.
Beliau menjelaskan dokumen baharu itu melibatkan kad pengenalan dan pasport yang dilengkapi ciri keselamatan terkini, selaras dengan keperluan semasa dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Saya percaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia dengan pelan A dan pelan B. Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah dengan baik kerana sampai satu tempoh, kita kena mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya, dengan ciri keselamatan yang lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan KDN.
Tambahnya lagi, pihaknya juga sudah bergerak jauh apabila sistem ini menyediakan semua prasyarat atau enabler sebelum ia dilancarkan September ini untuk membolehkan pengisian maklumat permohonan kewarganegaraan seperti yang diluluskan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan.

MyNIISe akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah digunakan lebih 20 tahun kerana sistem lama itu tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran keselamatan global, volum pergerakan yang tinggi, serta keperluan integrasi data semasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen KDN dalam memastikan sistem yang lebih efisien serta mampu menangani isu dan aduan rakyat berkaitan pengurusan identiti.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution turut menekankan kepentingan aspek keselamatan sempadan serta kecekapan sistem imigresen dalam menguruskan kemasukan dan pergerakan keluar masuk negara. Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan sistem imigresen dan keselamatan negara berada pada tahap terbaik.
{suggest}
