Memandu kenderaan elektrik (EV) dilaporkan boleh menjimatkan sehingga £5,850 (~RM33 ribu) bagi kebanyakan pemilik EV bagi sepanjang tempoh pemilikan kenderaan tersebut.
Ia berdasarkan laporan terkini bertajuk Cost Of Driving Electric, Report 2025 terbitan daripada hasil analisis sejumlah 480 senario yang dibuat oleh New AutoMotive & Electric Vehicles UK (EVUK).
Penyelidikan itu dijalankan untuk menyediakan analisis “muktamad, dipacu data” bagi jumlah kos pemilikan EV.
Ketua Pegawai Eksekutif Kenderaan Elektrik UK, Dan Caesar menyifatkan, penyelidikan itu membentangkan keseluruhan gambaran realiti pemanduan kenderaan elektrik.
Kos pemanduan EV itu dikira merangkumi harga belian, pengecasan, penyelenggaraan, insurans, cukai dan susut nilai.
Menurut laporan itu, pemilik EV dengan stesen pengecasan tersedia di rumah jimat lebih banyak berbanding pengguna yang mengecas EV mereka di stesen pengecasan awam. Namun, masih lebih jimat berbanding memandu ICE.
“Ramai pengguna yang bergantung kepada pengecasan awam masih boleh menjimatkan wang dengan kereta elektrik, walaupun kos pengecasan lebih tinggi berbanding dengan mengisi minyak kenderaan ICE yang setara”
Antara faktor utama lain yang menumbang kepada penjimatan ini termasuklah pasaran bateri EV terpakai yang berkembang pesat di mana kini ditawarkan pada harga yang lebih murah dari tahun-tahun sebelumnya.
Menurut laporan itu, purata harga bateri EV kini £2,781 (~RM16 ribu) lebih murah daripada kos enjin petrol.
Malah turut menawarkan penjimatan kos operasi penyelenggaraan yang lebih ketara kepada pemilik EV.
Laporan itu menyimpulkan, kos pemilikan EV telah menurun secara signifikan, menjadikannya pilihan yang semakin berbaloi bagi pengguna tanpa mengira julat perjalanan yang dilakukan.
Laporan itu berharap penemuan baharu ini akan membantu mendidik semua pihak berkepentingan, terutamanya pengguna, mengenai kos sebenar memandu EV.
{suggest}