Samsung dan ShopeePay memperluas kerjasama bagi memudahkan urusan pembayaran digital di Asia Tenggara menerusi integrasi ShopeePay dengan Samsung Wallet serta pilihan pembayaran menggunakan Samsung Pay di platform Shopee.
Menurut Samsung, kedua-dua integrasi ini sudah tersedia di Singapura dan Vietnam, manakala Malaysia dijangka menerimanya dalam beberapa bulan akan datang.
Apabila tersedia kelak, pengguna di Malaysia boleh mengimbas kod QR peniaga yang mengambil bahagian menggunakan Samsung Wallet, sebelum membuat pembayaran menggunakan akaun ShopeePay yang dipautkan.
Dengan cara ini, pengguna tidak perlu membuka aplikasi ShopeePay secara berasingan untuk menyelesaikan transaksi. Pembelian yang layak juga membolehkan pengguna mengumpul Shopee Coins.
Selain pembayaran melalui kod QR, Samsung Pay turut diperkenalkan sebagai salah satu pilihan pembayaran ketika membuat pesanan di Shopee. Integrasi ini memberikan pengguna alternatif untuk menyelesaikan pembelian tanpa bergantung pada kaedah pembayaran lain yang tersedia di platform tersebut.
Pada masa sama, ShopeePay, termasuk SPayLater, kelak boleh digunakan untuk membeli produk Samsung melalui laman web Samsung.com.
Samsung juga akan memperluas penerimaan ShopeePay dan SPayLater di kedai fizikalnya di seluruh Asia Tenggara.
