Apple bakal dibicarakan di Paris pada Jun 2027 kerana disyaki mengatur keusangan terancang (planned obsolescence) bagi beberapa model iPhone dengan menghalang kerja-kerja pembaikan di luar cawangan rasmi, menurut sumber yang rapat dengan kes itu kepada AFP pada Selasa.
Kes yang dikemukakan oleh pendakwa raya Perancis terhadap gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu atas pertuduhan “menghalang pembaikan dan baik pulih” adalah yang pertama seumpamanya, kata kumpulan kempen Stop Planned Obsolescence, sambil menyambut baik langkah berkenaan selepas memfailkan aduan pada 7 Disember 2022.
“Kami membantah keras dakwaan tidak berasas ini,” kata Apple ketika dihubungi AFP.
Keusangan terancang merujuk kepada teknik yang digunakan oleh pengeluar untuk memendekkan jangka hayat produk mereka secara sengaja, lazimnya peranti elektronik, sekali gus mendorong pengguna untuk membuang dan menggantikannya dengan lebih kerap.
Menurut sumber yang rapat dengan kes itu, Apple Distribution International dan syarikat induknya, Apple Inc, dijadualkan hadir ke mahkamah untuk perbicaraan selama empat hari bermula 17 Jun.
Mereka didakwa menghalang pembaikan terhadap beberapa model iPhone selama lebih dua tahun setengah, iaitu dari November 2021 hingga Julai 2024.
Apple dituduh mengkonfigurasi perisian telefon pintarnya untuk “menjadikan peranti mustahil dibaiki atau dibaik pulih” di luar rangkaian yang dibenarkan, tambah sumber tersebut.
Tindakan itu didakwa bertujuan melonjakkan jualan produk utama Apple dan meningkatkan hasil syarikat multinasional berkenaan, yang kini menjana pendapatan lebih AS$400 bilion setahun, dengan kira-kira separuh daripadanya disumbangkan oleh jualan iPhone. – AFP
