GrabPay bakal memperkenalkan fungsi DuitNow Transfer yang membolehkan pengguna membuat pemindahan terus melalui aplikasi itu, selain kemudahan pemindahan antara pengguna GrabPay dan pembayaran kepada peniaga menggunakan DuitNow QR sedia ada.
Perkara itu dimaklumkan Grab menerusi e-mel kepada pengguna, susulan kemas kini Terma Perkhidmatan GrabPay yang kini merangkumi Terma dan Syarat DuitNow Transfer sebagai persediaan untuk pelaksanaan ciri berkenaan.
Menurut Grab, fungsi baharu itu akan ditawarkan secara berperingkat kepada pengguna yang mempunyai GrabPay Premium Wallet. Pengguna GrabPay Basic Wallet juga boleh menaik taraf akaun dengan melengkapkan proses pengesahan identiti penuh (eKYC) melalui halaman “Finance” dalam aplikasi Grab.

Mengenai kemas kini Terma Perkhidmatan, Grab menjelaskan pengguna dianggap bersetuju dengan terma baharu itu sekiranya mereka terus menggunakan GrabPay atau melakukan transaksi DuitNow Transfer buat kali pertama.
