Apple memperkenalkan kawalan kebenaran akses yang lebih terperinci dalam macOS 27.3 beta 2 bagi membolehkan pengguna menentukan akses aplikasi terhadap fail, folder dan aplikasi lain pada Mac, termasuk aplikasi berasaskan ejen AI.
Menerusi kemas kini kepada pembangun, Apple mengumumkan beberapa perubahan pada sistem Full Disk Access serta Device Control and Data Access bagi membantu pengguna memahami risiko pemberian akses kepada aplikasi, selain memberikan lebih kawalan terhadap data dan privasi.
Perubahan yang diperkenalkan termasuk:
- Memisahkan Device Control and Data Access kepada dua tetapan, iaitu System & App Protection Override dan Accessibility.
- Menyediakan kaedah tunggal untuk memberikan kebenaran dengan memilih aplikasi yang meminta akses daripada senarai yang dipaparkan.
- Memberikan panduan supaya pengguna hanya memberikan akses kepada aplikasi tertentu bagi System & App Protection Override, atau folder tertentu bagi Full Disk Access, mengikut keperluan aliran kerja mereka.
- Meningkatkan kejelasan tentang pelbagai jenis data yang boleh diakses atau dikawal oleh aplikasi sekiranya kebenaran penuh diberikan.
- Memberikan pilihan kepada pengguna untuk menetapkan supaya aplikasi meminta kebenaran setiap kali memerlukan akses.
- Memaparkan penunjuk ketelusan pada bar menu Mac apabila aplikasi yang meminta kebenaran sedang mengawal aplikasi lain menggunakan System & App Protection Override. Dengan adanya penunjuk ini, pengguna boleh mengetahui apabila aplikasi sedang berinteraksi dengan aplikasi lain pada Mac.
Susulan perubahan ini, pembangun perlu menyesuaikan proses pengenalan aplikasi kepada pengguna dan memastikan aplikasi masing-masing dapat berfungsi dengan baik walaupun hanya diberikan akses kepada aplikasi atau folder tertentu.
macOS 27.3 now warns you before giving an app full disk access
That warning prompt is pretty scary! pic.twitter.com/J2qCKVWJRx— ldt (@madeby_ldt) November 16, 2026
Bagi aplikasi yang menggunakan Full Disk Access untuk membuat sandaran cakera atau tetapan Accessibility baharu bagi menyediakan teknologi bantuan, pembangunnya boleh memohon kebenatan khas daripada Apple. Kebenaran ini membolehkan aplikasi berkenaan mengekalkan pengalaman penggunaan yang sama seperti sebelum macOS 27.3 untuk pemasangan baharu.
Sementara itu, kebenaran akses aplikasi yang telah diberikan sebelum macOS 27.3 akan kekal berkuat kuasa. Pengguna hanya akan melihat perubahan baharu ini apabila meluluskan permintaan kebenaran akses baharu daripada aplikasi.
Gambar utama: X//@madeby_ldt
