Wahana angkasa Voyager 1 mencatat sejarah baru apabila dijangka mencapai jarak satu hari cahaya dari Bumi pada 18 November 2026.
Atau secara tepatnya menurut NASA, Voyager 1 akan tiba pada hari Rabu, 18 November 2026, jam 5:16:07 pagi EST.
Mengembara selama hampir 50 tahun,Voyager 1 menjadi satu-satunya objek buatan manusia yang pernah mengembara sejauh satu hari cahaya dari Bumi.
Itulah jarak yang boleh dilalui oleh zarah cahaya dalam 24 jam, bersamaan kira-kira 16 bilion batu (kira-kira 26 bilion kilometer)

Pencapaian ini bermaksud, isyarat cahaya yang bergerak pada kelajuan kira-kira 300,000 kilometer sesaat memerlukan masa penuh 24 jam untuk sampai dari Bumi ke Voyager 1.
Peristiwa ini menjadi bukti sejauh mana pencapaian manusia dalam penerokaan angkasa lepas.
Voyager 1

Dilancarkan oleh NASA pada tahun 1977, Voyager 1 pada asalnya ditugaskan untuk mengkaji planet-planet luar dalam Sistem Suria, termasuk Musytari dan Zuhal.
Misi yang pada awalnya dirancang untuk beberapa tahun sahaja kini telah berlanjutan hampir lima dekad.
Pada tahun 2012, Voyager 1 menjadi kapal angkasa pertama yang berjaya memasuki ruang antara bintang atau interstellar, kawasan di luar pengaruh utama angin suria Matahari.
Sehingga kini, ia terus menghantar data saintifik berharga mengenai persekitaran ruang angkasa yang belum pernah diterokai sebelum ini.
Apabila Voyager 1 mencapai 18 November 2026 ini, kapal angkasa tersebut telah mengambil masa selama 49 tahun, dua bulan, dan 11 hari untuk mengembara sejauh “satu hari cahaya” dari Bumi.

NASA menyatakan, Voyager 1 kini sedang menuju ke arah sebuah bintang yang terletak lebih daripada 17 tahun cahaya dari Bumi, yang dikenali sebagai AC +79 3888 atau Gliese 445.
Walaupun kapal angkasa tersebut, yang telah mengembara sejak tahun 1977, bergerak pada kelajuan hampir 38,000 batu sejam (61,000 km/j) merentasi ruang angkasa, kelajuan ini sebenarnya sangat perlahan jika dibandingkan dengan kelajuan cahaya.
Mengapa guna cahaya sebagai ukuran?
Ramai orang menyangka tahun cahaya ialah ukuran masa, tetapi sebenarnya ia merupakan ukuran bagi jarak.
Tahun cahaya merujuk kepada jarak yang dilalui oleh cahaya dalam tempoh setahun.
Cahaya bergerak pada kelajuan kira-kira 300,000 kilometer sesaat, menjadikannya yang terpantas di alam semesta di mana tiada apa yang bergerak lebih cepat daripada cahaya.
Ini bermakna, dalam masa seminit, cahaya mampu bergerak sejauh 11,160,000 batu (kira-kira 17.96 juta kilometer).
Dalam sejam pula, cahaya boleh bergerak sejauh 671 juta batu (sekitar 1.08 bilion kilometer).

Ahli astronomi menggunakan tahun cahaya kerana jarak di angkasa terlalu besar untuk diukur dalam kilometer biasa.
Sebagai contoh, cahaya daripada Matahari mengambil masa kira-kira lapan minit untuk sampai ke Bumi.
Ini bermakna apabila kita melihat Matahari, kita sebenarnya melihat keadaan Matahari lapan minit yang lalu.
Tahun cahaya juga membantu kita memahami saiz galaksi dan alam semesta yang kita huni.
Galaksi Bima Sakti, tempat sistem suria kita berada, dianggarkan mempunyai lebar sekitar 100,000 tahun cahaya.

Kesimpulannya, tahun cahaya ialah ukuran penting yang digunakan untuk menerangkan jarak yang sangat besar di angkasa.
Konsep ini membantu manusia memahami keluasan alam semesta dan kedudukan kita di dalamnya.
Dengan memahami tahun cahaya, kita dapat menghargai betapa luasnya ruang angkasa serta cabaran besar yang perlu didepani bagi meneroka dunia di luar Bumi.
