Kecerdasan buatan (AI) bergantung pada data, namun perkakasan yang membolehkan data diproses dan AI berfungsi dengan lancar dari pusat-pusat data AI, dihasilkan oleh kilang-kilang yang dipacu pekerja-pekerja mahir dalam semikonduktor.
AI tidak beroperasi dalam ruang kosong.
Perkakasan utama memori DRAM, NAND, serta high-bandwidth memory (HBM), dihasilkan para pekerja yang terdiri daripada para jurutera mahir yang menjadi tulang belakang dalam membangunkan asas utama AI ini.
Malaysia tidak ketinggalan berada di barisan hadapan dalam rantaian bekalan global bagi melengkapi infrastrukturAI ini.
Malah Malaysia kini telah menjadi antara negara penting dalam rantaian nilai E&E global.

Berdasarkan data Bank Negara Malaysia (BNM 2025), 64% daripada eksport industri elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia adalah semikonduktor, manakala 36% terdiri daripada peranti seperti komponen untuk komputer dan telefon.
Dalam eksport semikonduktor, cip logik mencakupi bahagian terbesar sebanyak 49.5%, diikuti oleh DAO (45%) dan memori (7.5%).
Menurut data daripada Mordor Intelligence, nilai pasaran semikonduktor Malaysia sudah mencecah USD 10.85 bilion (~RM44.23 bilion) pada 2025 dengan dijangkakan melonjak ke USD 16.51 bilion (~RM67.30 bilion) menjelang 2030.
Lonjakan besar ini dipacu oleh strategi nasional bernilai RM25 bilion.
![]()
Namun, cabaran terbesar negara sekarang ialah kekurangan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri ini.
Oleh sebab itulah, Kerajaan mewujudkan inisiatif National Semiconductor Strategy (NSS) dengan menyasarkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Peruntukan RM25 bilion merangkumi RM1.2 bilion bagi menampung kos latihan dan peningkatan kemahiran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi, pada kadar RM20,000 bagi setiap jurutera.
Memetik laporan Market Research Malaysia, universiti tempatan ketika ini hanya mampu melahirkan sekitar 5,000 graduan kejuruteraan setiap tahun, sedangkan industri memerlukan hampir 50,000 jurutera, jurang sepuluh kali ganda yang sukar ditutup dalam masa singkat.
Pulai Pinang yang kini menjadi pusat tumpuan sektor elektrikal dan elektronik (E&E) ini dijangka memerlukan 50,000 jurutera dengan tambahan antara 12,000 hingga 15,000 jawatan teknikal baharu menjelang akhir 2026.

Seubungan itu, bagi memenuhi tuntutan ini, strategi menyeluruh bermula dari peringkat pendidikan, latihan industri, dan insentif pengekalan tenaga kerja, perlu diselaraskan bagi mencapai cita-cita negara untuk menjadi salah satu rantaian penting yang bernilai tinggi dalam semikonduktor global.
Walaupun Malaysia sudah lama terlibat dalam industri semikonduktor global, namun negara masih belum mempunyai ekosistem lengkap sehingga peringkat reka bentuk litar bersepadu (IC).
Akibatnya, sebahagian daripada bakat-bakat semikonduktor telah berhijrah untuk meneruskan kerjaya mereka di luar negara.

Tanpa langkah drastik, Malaysia berisiko ketinggalan berbanding negara jiran seperti Vietnam dan Thailand yang semakin agresif dalam menarik pelaburan elektronik.
{suggest}
