Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP

Korea Selatan Bakal Gandakan Perbelanjaan AI Dan Cip Pada 2027

Diterbitkan November 2, 2026 oleh Amsyar Latif

Korea Selatan merancang untuk menggandakan perbelanjaan dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor pada 2027 kepada paras tertinggi dalam sejarah, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi dan memodenkan sektor pertahanan negara itu.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, dalam ucapan belanjawan tahunan di Parlimen pada Isnin mengumumkan peruntukan sebanyak 21.3 trilion won (sekitar RM64.5 bilion) bagi pembangunan AI dan industri semikonduktor, merangkumi pusat data sehingga teknologi robotik.

Menurut laporan AFP, jumlah tersebut hampir dua kali ganda berbanding peruntukan tahun ini.

“Kami akan membuat pelaburan besar dalam AI dan sektor pertumbuhan masa depan bagi meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi negara,” kata Lee.

Secara keseluruhan, cadangan Belanjawan 2027 Korea Selatan berjumlah 821 trilion won, meningkat 12.8% berbanding tahun sebelumnya dan menjadi cadangan belanjawan terbesar dalam sejarah negara itu.

Bagaimanapun, cadangan tersebut masih memerlukan kelulusan Parlimen, yang dijangka dapat diperoleh memandangkan parti pimpinan Lee mempunyai majoriti.

Pelaburan Besar Dalam AI Dan Semikonduktor

Korea Selatan merupakan antara kuasa utama industri teknologi dunia, dengan Samsung Electronics dan SK hynix menjadi dua daripada tiga pengeluar cip memori terbesar global.

Kedua-dua syarikat itu turut mendapat manfaat besar daripada lonjakan permintaan cip memori untuk infrastruktur AI, yang mendorong peningkatan keuntungan serta harga saham masing-masing.

Lee berkata kerajaan akan memperuntukkan 4.7 trilion won bagi menyokong projek pembangunan AI termaju, dengan matlamat menghasilkan model AI tempatan yang mempunyai prestasi setanding peneraju dunia.

Model AI itu juga akan dianggap sebagai aset strategik negara.

Pada Jun lalu, Lee mengumumkan kerjasama antara sektor awam dan swasta yang memberi tumpuan kepada tiga projek mega.

Projek tersebut melibatkan peluasan hab pengeluaran semikonduktor di seluruh negara, penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan robotik serta pembinaan pusat data AI berkapasiti skala gigawatt.

Ketika itu, kerajaan turut mengumumkan rancangan pelaburan hampir AS$1.2 trilion, bersamaan lebih dua pertiga daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Korea Selatan.

Samsung dan SK hynix pula mengumumkan rancangan pelaburan gabungan melebihi 4,755 trilion won (AS$3.5 trilion) di Korea Selatan pada Jun, mencatatkan tahap pelaburan korporat yang tertinggi di negara itu.

Bagaimanapun, peningkatan keuntungan industri semikonduktor turut mendorong jurutera dan pekerja syarikat seperti Samsung dan SK hynix menuntut ganjaran lebih tinggi dalam rundingan dengan pihak pengurusan.

Pada September, Seoul turut mengumumkan rancangan mewujudkan Future Fund bernilai 162.3 trilion won pada tahun depan bagi menyalurkan hasil cukai daripada pertumbuhan industri cip kepada pembangunan ekonomi jangka panjang.

Lee berkata kerajaan juga akan melabur 2.1 trilion won untuk pembangunan infrastruktur bekalan elektrik, air dan kawasan perindustrian.

Kemudahan tersebut penting bagi memastikan kilang semikonduktor mendapat bekalan tenaga yang stabil sepanjang masa, memandangkan operasi pengeluaran cip perlu berjalan 24 jam sehari, sepanjang tahun.

AI Turut Digunakan Untuk Memodenkan Tentera

Selain sektor teknologi, kerajaan Korea Selatan turut merancang meningkatkan perbelanjaan pertahanan sekitar 8% kepada 73.3 trilion won pada 2027.

Peningkatan itu bertujuan menyokong pemerolehan aset ketenteraan termasuk kapal selam berkuasa nuklear dan pesawat pejuang KF-21.

Lee berkata Seoul mahu mempercepatkan transformasi angkatan tenteranya menjadi sebuah pasukan elit pintar menerusi penyepaduan sistem yang dikendalikan manusia dan sistem tanpa pemandu berasaskan AI, robot serta dron.

Perancangan itu dibuat ketika Korea Utara baru-baru ini menjalankan beberapa ujian persenjataan, termasuk sistem torpedo berpanduan ketepatan baharu dan peluru berpandu hipersonik jarak sederhana yang menurut Pyongyang menggunakan teknologi AI.

Pada tahun lalu, Seoul turut mengumumkan persetujuan dengan Washington untuk membangunkan kapal selam berkuasa nuklear.

Bagaimanapun, Korea Utara mengecam program tersebut dan menyifatkannya sebagai satu “percubaan konfrontasi yang berbahaya”. – AFP

Berkaitan

  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • HONOR Pad X7b Kini Di Malaysia Dari RM699, Dua Earbuds Baharu Bermula RM59
  • Epson Lancar SureColor SC-F330, Pencetak Sublimasi Desktop A3 Pertamanya
  • Google Peruntuk AS$160 Juta Untuk Infrastruktur Air Sokong Pusat Data Di Negeri Sembilan
  • 25,000 Lesen Pas Pembelajaran Global Kohort 2 Dibuka 16 November - Pemohon Senarai Menunggu Diutamakan
  • Claude Code Tak Boleh Lagi Klon Game Orang Lain, Walaupun Ditukar Nama
  • CelcomDigi Meterai Kerjasama 15 Tahun, Bakal Sediakan Sambungan Gentian Optik Di Kulim Hi-Tech Park
  • OpenAI Akan Satukan Had Penggunaan ChatGPT Dan Codex Mulai Disember
©2026 WISER.MY