Jika selama ini, anda percaya bahawa straw kertas atau straw biodegradasi lebih baik untuk alam sekitar berbanding straw plastik, anda mungkin terpaksa melupakan retorik itu.
Ia selepas, satu kajian mendalam yang dijalankan oleh Persatuan Penilaian Kitar Hayat Korea Selatan (MDPI) mendapati bahawa realitinya mungkin lebih kompleks daripada yang disangka.
Kajian yang diarahkan oleh Kementerian Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar itu menilai empat jenis straw iaitu plastik konvensional (PP), kertas, biodegradasi, dan bioPE berasaskan tumbuhan.
Penyelidik menganalisis keseluruhan kitaran hayat produk, bermula daripada pengeluaran bahan mentah sehingga proses pelupusan, merangkumi 16 kategori kesan alam sekitar seperti pelepasan karbon, pencemaran udara, penggunaan sumber asli dan kadar tksik terhadap manusia serta ekosistem.
Hasilnya amat mengejutkan apabila straw plastik biasa mencatat impak alam sekitar paling rendah dalam 10 daripada 16 kategori yang dikaji.
Sebaliknya, straw bioPE menunjukkan impak yang lebih tinggi kerana penanaman bahan mentah seperti tebu memerlukan penggunaan tanah, baja dan racun perosak yang banyak.
Malah, menurut kajian tersebut, penyedut minuman bioPE mempunyai impak karsinogenik (penyebab berkaunya kanser) 16.18 kali ganda dan impak pengasidan 5.9 kali ganda berbanding plastik biasa.
Sementara, straw kertas pula mencatatkan kesan negatif yang lebih tinggi dalam beberapa kategori berkaitan penggunaan sumber mineral dan tenaga.
Penyedut minuman kertas juga menunjukkan kesan karsinogenik 6.33 kali lebih tinggi berbanding alternatif straw plastik konvensional.
Kajian itu menegaskan bahawa kebanyakan straw, tanpa mengira jenis bahan, jarang dikitar semula kerana saiznya yang kecil menyukarkan proses pengasingan sisa.
Banyak straw kertas juga berakhir di pusat pembakaran sampah kerana salutan dan pelekat yang digunakan menghalang proses kitar semula.
Kesimpulannya, tiada satu jenis straw yang unggul dalam semua aspek alam sekitar.
Justeru, cadangan terbaik kepada pengguna ialah mengurangkan penggunaan straw secara keseluruhan dan hanya menggunakannya hanya apabila benar-benar diperlukan.
