Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP

Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar

Diterbitkan Oktober 30, 2026 · Dikemas kini Oktober 30, 2026 oleh Amsyar Latif

Korea Selatan merancang untuk mengambil tindakan jenayah terhadap pelajar yang didapati menipu dalam peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan menggunakan cermin mata pintar (smart glasses), selain memperketat hukuman terhadap penggunaannya.

Menurut laporan AFP, pegawai Kementerian Pendidikan Korea Selatan, Lee Joon-hyuk berkata kerajaan akan memfailkan aduan jenayah terhadap pelajar yang ditangkap menipu menggunakan peranti tersebut pada masa hadapan.

Penjualan cermin mata pintar yang membolehkan pengguna mengambil gambar, merakam video dan berinteraksi dengan pembantu kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat di seluruh dunia.

Bagaimanapun, penggunaan peranti itu turut mencetuskan kebimbangan, termasuk risiko individu dirakam tanpa kebenaran serta penyalahgunaannya untuk menipu dalam peperiksaan.

Di Korea Selatan, peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan yang dikenali sebagai Suneung dianggap sangat penting untuk mendapatkan tempat di universiti terkemuka, selain dilihat sebagai laluan kepada kestabilan ekonomi dan peluang perkahwinan yang baik.

Di bawah cadangan baharu pihak berkuasa, pelajar yang ditangkap menipu menggunakan cermin mata pintar tidak akan dibenarkan menduduki semula peperiksaan selama tiga tahun, berbanding hukuman semasa selama setahun.

Bagaimanapun, Lee berkata peraturan baharu itu dijangka tidak dapat dilaksanakan semasa peperiksaan kemasukan universiti pada November ini.

“Dengan hanya kira-kira 20 hari lagi sebelum peperiksaan, secara realistiknya sukar untuk meminda undang-undang dalam tempoh tersebut. Namun, kami merancang untuk memastikan perubahan itu berkuat kuasa mulai peperiksaan tahun depan,” katanya.

Langkah tersebut dibuat selepas tiga pelajar dikesan memakai atau memiliki cermin mata pintar ketika peperiksaan esei yang dikendalikan oleh beberapa universiti di Seoul.

Isu penyalahgunaan cermin mata pintar turut menjadi perhatian institusi pendidikan di negara lain.

Pada musim panas lalu, National Taiwan University di Taipei dilaporkan membatalkan kelayakan seorang calon peperiksaan kemasukan selepas didapati menipu menggunakan cermin mata pintar AI.

Petugas Khas Akan Periksa Cermin Mata Pelajar

Sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan yang diumumkan pada Khamis, Kementerian Pendidikan Korea Selatan turut merancang menempatkan petugas khas di setiap pusat peperiksaan bagi mengenal pasti penggunaan cermin mata yang mencurigakan.

Peperiksaan Suneung sememangnya terkenal dengan tahap kepentingannya yang tinggi dalam sistem pendidikan Korea Selatan.

Pada hari peperiksaan tersebut, penerbangan di seluruh negara dilarang selama 35 minit ketika ujian mendengar bahasa Inggeris berlangsung, kecuali bagi situasi kecemasan.

Bank dan pejabat kerajaan pula mengarahkan kakitangan mereka memulakan kerja sejam lebih lewat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Tekanan besar yang dihadapi pelajar dalam sistem pendidikan Korea Selatan yang sangat kompetitif turut dikaitkan dengan kadar kemurungan dan bunuh diri remaja yang merupakan antara tertinggi di dunia. – AFP

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Berkaitan

  • Universiti Nasional Singapura Bangunkan Skrin Sentuh Dalam Lengan Baju, Didakwa Pertama Di Dunia
  • Penyelidik Bangunkan Implan Wayarles Kurangkan Gula Dalam Darah

Terbaru

  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
  • Agoda Kini Ada Pembantu AI Untuk Bantu Rancang Percutian, Buat Tempahan
  • MakaKami, Direktori Baharu Yang Himpun Aplikasi Buatan Malaysia
  • MyCERT Kesan Trojan Windows Disebar Melalui WhatsApp - Fail ZIP Menyamar Sebagai Dokumen Kewangan
©2026 WISER.MY