Jensen Huang dilapor sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk kembali menerajui NVIDIA sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), beberapa hari selepas meletakkan jawatan jawatan susulan laporan mengenai hubungan sulitnya dengan individu yang disyaki sebagai perisik China serta kakitangan bawahannya.
Menurut laporan Financial Times, Huang telah membincangkan kemungkinan tersebut dengan beberapa individu yang dipercayainya. Pada masa sama, beberapa sekutunya di Silicon Valley sedang mengatur usaha untuk mendesak lembaga pengarah Nvidia supaya mengembalikannya ke jawatan tersebut.
Seorang sekutu Huang memberitahu FT bahawa mereka sedang membentuk sebuah “bilik gerakan” yang menghimpunkan eksekutif Silicon Valley untuk melobi supaya bekasa ketua NVIDIA itu kembali. Pihak berkenaan juga dikatakan akan cuba mendapatkan sokongan daripada Rumah Putih.
“Semua pihak yang berpengaruh dalam sektor teknologi, di luar makmal-makmal AI termaju, menyukai Jensen,” kata individu yang dipetik FT itu, sambil menambah usaha tersebut mendapat sokongan daripada Huang sendiri.
Kempen membawa semula Huang turut mendapat sokongan beberapa nama besar dalam industri teknologi. CEO Tesla dan SpaceX, Elon Musk, serta CEO Epic Games, Tim Sweeney, antara yang menyokong surat terbuka dengan gesaan “Bring Jensen Back”. Beberapa kakitangan Nvidia juga secara terbuka menyuarakan sokongan dan menandatangani surat berkenaan.
Perkembangan ini berlaku ketika NVIDIA sedang mencari pengganti tetap selepas Huang meletakkan jawatan pada minggu lalu. Buat masa ini, tugas CEO dipangku oleh CFO NVIDIA, Colette Kress, sementara proses mencari pengganti baharu dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, FT turut melaporkan lembaga pengarah NVIDIA telah mendekati CEO Arm Holdings, Rene Haas, sebagai calon berpotensi untuk menggantikan beliau.
Setakat ini, kemungkinan Huang kembali menerajui NVIDIA masih belum disahkan. Syarikat itu juga belum memberikan sebarang komen mengenai usaha yang dilaporkan sedang dilakukan oleh sekutu-sekutunya untuk membawa beliau kembali.
