Jordan mengumumkan pengharaman aplikasi pemesejan Telegram pada Isnin, dengan memetik kebimbangan bahawa platform itu digunakan untuk menyebarkan fahaman ekstremisme, beberapa minggu selepas serangan maut di sebuah gereja.
“Kami mengumumkan sekatan ke atas aplikasi Telegram di Jordan, dalam rangka usaha yang bertujuan memperkukuh keselamatan digital dan melindungi pengguna,” menurut kenyataan direktorat keselamatan Jordan.
Kenyataan itu menyebut langkah berkenaan diambil “dalam konteks komitmen untuk melindungi masyarakat serta membanteras sebarang penggunaan yang boleh menyumbang dan memudahkan perlakuan jenayah siber, ugutan, pemerasan atau penyebaran kandungan haram”.
Ia turut memaklumkan tindakan itu bertujuan mengekang “cubaan menyebarkan radikalisasi dan ekstremisme yang menjejaskan keselamatan negara”.
Pengharaman tersebut dibuat susulan serangan pada 23 Oktober lalu ke atas sebuah gereja di wilayah selatan Karak yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Pada Ahad, sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman mati dengan cara digantung ke atas tiga lelaki berhubung serangan berkenaan.
Pihak berkuasa menyifatkan mereka sebagai pengikut ideologi Islam garis keras.
Jordan turut mengharamkan TikTok pada Disember 2022, dengan alasan penyebaran video yang disifatkan pihak berkuasa sebagai “menghasut pembunuhan dan kekacauan”.
Pengharaman itu menyusuli protes berhubung kenaikan kos bahan api, yang menyaksikan tercetusnya keganasan sehingga mengorbankan seorang anggota keselamatan. – AFP
