GSMA melancarkan inisiatif baharu dikenali sebagai Digital Majlis sempena persidangan MWC26 Doha bagi memperkukuh kerjasama digital merentasi rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), serta Eurasia.
Inisiatif yang menghimpunkan kerajaan, pengendali mudah alih, pelabur dan organisasi pembangunan ini bertujuan mengatasi halangan kesalinghubungan serta perkhidmatan digital rentas sempadan.
Pada sesi meja bulat sulungnya, para peserta mengesahkan Kenyataan Pengasas Digital Majlis dan bersetuju membangunkan cadangan bagi mewujudkan Koridor Kepercayaan Digital dalam tempoh 90 hari akan datang.
Sesi sulung itu turut disertai Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil bersama wakil kementerian ICT dari Qatar, Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan dan Kyrgyzstan, selain pengendali telekomunikasi utama dan institusi kewangan antarabangsa.
“Di Digital Majlis sempena MWC Doha 2026, kami mahu perkhidmatan digital berfungsi merentasi sempadan dan meraih kepercayaan orang ramai,” Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi Malaysia.
Koridor tersebut bakal menangani cabaran praktikal yang sering dihadapi pengembara dan perniagaan, termasuk ketidakupayaan menggunakan e-dompet di luar negara, isu pengesahan identiti digital, serta perbezaan peraturan perayauan dan perlindungan pengguna.
GSMA selaku sekretariat akan meneruskan dialog ini melalui siri acara M360 ASEAN, M360 Eurasia dan MWC Barcelona.
