Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Kelemahan Ciri ‘Hide My Email’ Apple Dilapor Boleh Dedahkan E-mel Sebenar Pengguna

Posted on Julai 2, 2026Julai 2, 2026

Apple didakwa masih belum membaiki satu kelemahan pada ciri Hide My Email yang berpotensi mendedahkan alamat e-mel sebenar pengguna, walaupun isu itu telah dilaporkan kepada syarikat berkenaan lebih setahun lalu.

Menurut laporan MacRumors yang memetik sumber 404 Media, kelemahan tersebut telah disahkan menerusi ujian yang dijalankan bersama penyelidik keselamatan dan pengasas bersama EasyOptOuts, Tyler Murphy. Bagaimanapun, butiran teknikal mengenai kelemahan itu tidak didedahkan kepada umum bagi mengelakkan ia dieksploitasi.

Murphy mendakwa semua ujian yang dijalankan berjaya mengeksploitasi kelemahan berkenaan. Dalam ujian terhad yang melibatkan sukarelawan, beliau berkata setiap alamat Hide My Email yang diuji berjaya mendedahkan alamat e-mel sebenar pengguna.

Difahamkan, kelemahan keselamatan itu telah dilaporkan kepada Apple pada Jun 2025 berserta langkah untuk menghasilkannya semula. Apple mengesahkan penerimaan laporan itu pada bulan berikutnya dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.

Pada Mac 2026, Apple memaklumkan isu tersebut telah ditangani menerusi perubahan sistem. Namun, Murphy mendapati kelemahan itu masih wujud sebelum menyerahkan maklumat tambahan kepada Apple. Syarikat itu kemudian memaklumkan siasatan masih diteruskan. Pada Mei, Apple sekali lagi meminta Murphy supaya tidak mendedahkan isu berkenaan kepada umum sehingga siasatan diselesaikan, dan memberi jangkaan kemas kini keselamatan akan dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu.

Murphy turut mencadangkan supaya Apple menggantung sementara penciptaan alamat Hide My Email baharu sebagai langkah mengurangkan risiko kepada pengguna. Namun, tiada petunjuk cadangan itu dilaksanakan.

Sebagai rujukan, Hide My Email merupakan ciri yang disediakan kepada pelanggan iCloud+ untuk menjana alamat e-mel sementara secara rawak ketika mendaftar akaun atau berurusan dengan perkhidmatan pihak ketiga. Ciri itu bertujuan menyembunyikan alamat e-mel sebenar pengguna daripada spam, kebocoran data dan pengesanan identiti.

Menurut Murphy, alamat e-mel sebenar yang berjaya didedahkan boleh dipadankan dengan maklumat peribadi lain melalui pelbagai pangkalan data carian individu yang tersedia secara percuma di internet. Keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko terhadap pengguna yang bergantung pada Hide My Email untuk melindungi identiti mereka.

Sehingga kini, Apple masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress