Tata Electronics, pembekal utama kepada Apple dan Tesla, mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber susulan dakwaan kebocoran dokumen sulit berkaitan kedua-dua syarikat itu di laman web gelap (dark web).
Menurut Reuters, pengesahan itu dibuat selepas penyelidik keselamatan mendakwa kumpulan perisian tebusan World Leaks telah memuat naik lebih 200,000 fail bersaiz melebihi 630GB yang dipercayai diperoleh daripada Tata Electronics.
“Dalam beberapa minggu lalu, Tata Electronics mengenal pasti satu insiden keselamatan siber yang melibatkan beberapa sistem kami. Protokol tindak balas kami diaktifkan serta-merta dan insiden ini tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi semua perniagaan kami yang terus berjalan seperti biasa,” kata Tata Electronics dalam kenyataan kepada Reuters.
Apple dan Tesla setakat ini masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut. Namun, menurut sumber Reuters, Apple sedang menjalankan siasatan dan analisis menyeluruh bagi menilai kesan insiden berkenaan. Tata Electronics juga dipercayai menerima tuntutan wang tebusan, namun tidak memberikan sebarang komen lanjut berhubung perkara itu.
Menurut penyelidik keselamatan siber Rajshekhar Rajaharia, kebocoran data itu didakwa mengandungi pelbagai dokumen berkaitan Apple dan Tesla, termasuk spesifikasi komponen, dokumen pembuatan, e-mel, log sistem serta salinan pasport pekerja. Beberapa fail turut memaparkan penandaan bahawa ia mengandungi maklumat sulit dan rahsia dagangan kedua-dua syarikat.
Antara dokumen yang didakwa ditemui ialah fail berkaitan piawaian pemeriksaan kualiti komponen papan litar iPhone serta dokumen pembangunan projek Highland, iaitu nama kod dalaman yang diketahui umum bagi Model 3 versi dipertingkatkan milik Tesla.

Ditubuhkan pada 2020, Tata Electronics kini menjadi antara syarikat utama dalam sektor pembuatan elektronik dan semikonduktor di India. Syarikat itu turut memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global selepas mengambil alih operasi Wistron India pada 2023 dan memperoleh pegangan 60% dalam unit Pegatron India. Pada 2024, Tata Electronics turut memeterai perjanjian pembekalan semikonduktor dengan Tesla.
Ketika ini, Tata dianggarkan menghasilkan kira-kira satu pertiga daripada pengeluaran iPhone Apple di India, manakala selebihnya dihasilkan oleh Foxconn.
{suggest}
