Apple hari ini mula mengedarkan kemas kini utama untuk platform perisiannya, termasuk iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27 dan tvOS 27.
Kemas kini ini membawa pelbagai penambahbaikan pada prestasi, sambungan, carian dan antara muka (UI). Apple turut memperkenalkan ciri keselamatan baharu untuk kanak-kanak serta Siri AI yang dikuasakan Apple Intelligence.
Pada iPhone dan iPad, Apple menyatakan aplikasi kini boleh dibuka sehingga 30% lebih pantas, foto dimuatkan sehingga 70% lebih pantas selepas diambil dan pemindahan AirDrop sehingga 80% lebih pantas.
Pada iPad, proses melayari fail dan memindahkannya ke pemacu USB luaran pula dikatakan sehingga 5 kali lebih pantas. Apple turut menambah baik pengurusan tetingkap ketika melakukan pelbagai tugasan, termasuk proses menutup, menukar dan menyeret tetingkap.
Untuk Mac, Apple turut menjanjikan pemindahan AirDrop yang lebih pantas, permulaan muat naik iCloud Photos yang lebih cepat serta peralihan antara Spaces dan Mission Control yang lebih lancar. Main balik muzik pada Apple Watch juga dipertingkatkan.
Siri AI versi beta
Salah satu kemas kini utama kali ini ialah Siri AI, versi baharu Siri yang dikuasakan oleh Apple Intelligence dan mula diedarkan sebagai versi beta dalam bahasa Inggeris. Sokongan untuk bahasa Perancis, Jepun, Korea, Portugis dan Sepanyol pula akan menyusul pada Oktober.
Siri kini turut tersedia sebagai aplikasi kendiri, selain boleh digunakan melalui sistem peranti Apple.

Dalam kemas kini yang sama, Apple menyediakan keupayaan Apple Intelligence baharu merentas aplikasi untuk produk yang disokong dan ditetapkan kepada bahasa yang disokong. Pengguna yang mengaktifkan Apple Intelligence boleh mengakses ciri tersebut melalui iOS 27, iPadOS 27, macOS 27 dan watchOS 27.
Apple Intelligence kini menyokong bahasa seperti Inggeris, Perancis, Jerman, Jepun, Korea, Portugis, Sepanyol, Cina dan Vietnam, namun Apple menyatakan sesetengah ciri mungkin tidak tersedia dalam semua bahasa atau wilayah.
Dari segi peranti, Apple Intelligence dan Siri AI tersedia pada iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max, siri iPhone 16 dan lebih baharu, iPad mini dengan A17 Pro, iPad dengan cip M1 atau lebih baharu serta Mac dengan cip M1 atau lebih baharu, selain beberapa peranti Apple lain yang disokong.
Lebih banyak penambahbaikan merentas platform
Selain peningkatan prestasi, Apple turut memperkemas beberapa aspek pengalaman penggunaan pada pelbagai perantinya.
Carian melalui Spotlight, Photos dan Mail kini lebih stabil, cekap dan menyeluruh. Dalam Mail, sistem pemeringkatan baharu turut digunakan untuk memaparkan hasil yang lebih relevan dalam bahagian Top Hits.
Apple juga menambah pilihan baharu untuk Liquid Glass. Melalui “Settings”, pengguna boleh melaraskan penampilannya daripada ultraclear hingga fully tinted, manakala ikon aplikasi turut dikemas kini supaya kelihatan lebih tajam dan jelas.
Dalam Health, ciri Cycle Tracking kini menyokong perimenopaus dan menopaus, termasuk notifikasi mengenai perubahan kitaran yang berkaitan dengan perimenopaus.

iCloud Shared Albums kini menyokong perkongsian foto dan video pada resolusi penuh, serta memudahkan pengguna Android dan Windows menyertai dan menyumbang kepada album.

Pengguna AirPods pula boleh menggunakan custom EQ untuk melaraskan bunyi mengikut pilihan masing-masing. Dengan fungsi Apple GymKit yang diperluaskan, pengguna AirPods Pro 3 juga boleh sync data kadar denyutan jantung melalui iPhone.

Apple Maps turut menerima ciri Flyover yang dipertingkatkan dengan gabungan pengimejan udara dan AI.

Sementara itu, Apple TV kini menyokong lossless audio resolusi tinggi untuk Apple Music, selain menerima aplikasi Apple Podcasts yang direka semula dan lebih banyak pilihan saiz teks untuk aksesibiliti.
Keselamatan kanak-kanak
Apple turut memperkenalkan ciri baharu untuk membantu ibu bapa mengurus pengalaman digital anak-anak.
Persediaan akaun kanak-kanak yang baharu membolehkan ibu bapa menetapkan perlindungan berdasarkan umur serta memilih aplikasi yang boleh diakses sejak awal. Fungsi “Ask to Browse” pula membolehkan ibu bapa menetapkan keperluan kebenaran sebelum anak mengakses laman web baharu dalam Safari.

Communication Safety kini turut mengesan kandungan berkait keganasan dalam imej dan video yang dikongsi serta mengambil tindakan untuk menyekatnya apabila dikesan. Ibu bapa juga boleh meluluskan kenalan baharu yang ingin dihubungi oleh anak.
Sementara itu, Screen Time direka semula dengan paparan purata penggunaan peranti dan aplikasi yang paling banyak digunakan. Ibu bapa boleh menetapkan had masa harian untuk kategori seperti Hiburan, Permainan dan Media Sosial, selain mengurus akses aplikasi mengikut waktu melalui fungsi Schedules.

Kesemua kemas kini versi stabil ini mula diedarkan untuk iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27 dan tvOS 27.
Untuk iOS 27, kemas kini ini tersedia pada siri iPhone 11 dan model lebih baharu. Pengguna boleh memasangnya melalui Settings > General > Software Update, kemudian tatal ke bahagian “Also Available” dan pilih “Upgrade to iOS 27″ sebelum menekan Update Now.
Bagaimanapun, Apple menyatakan sesetengah ciri mungkin berbeza dari segi ketersediaan bergantung pada peranti, bahasa, wilayah serta undang-undang dan peraturan tempatan.
{suggest}
