Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini telah pun melancarkan rekaan plat khas baharu, iaitu JPJePlate.
Namun begitu, mungkin ramai yang keliru atau kurang jelas mengenai pelaksanaan plat nombor JPJePlate ini. Betulkah hanya untuk EV atau sebaliknya semua kenderaan? Bagi menjawab segala persoalan, teruskan bacaan selanjutnya.
Apa itu JPJePlate?
Untuk makluman, JPJePlate merupakaan reka bentuk baharu untuk plat kenderaan. Ia bertujuan bagi menyeragamkan reka bentuk nombor plat kepada semua kenderaan motor dan meningkatkan keselamatan di jalan raya.
Wajib ke untuk semua kenderaan?
Fasa pertama penggunaan plat nombor JPJePlate akan dimulakan dengan Kenderaan Motor Tiada Pelepasan Gas Pencemaran (FEV), kecuali motosikal. Ia termasuk yang dikuasakan sepenuhnya oleh sumber elektrik menggunakan bateri elektrik (Plug-in EV/Battery Cell) atau menggunakan sumber hidrogen menguasakan bateri elektrik (Hidrogen Fuel-Cell EV) secara National Roll Out (NRO).
Pelaksanaan seterusnya akan diperluaskan kepada jenis kenderaan lain, tetapi hanya akan dimaklumkan kelak.
Apa ciri-ciri plat nombor JPJePlate
Terdapat 9 ciri seperti berikut:
- Bendera Malaysia
- Kod nombor pendaftaran kenderaan antarabangsa dan singkatan untuk negara Malaysia (MAL) yang dicetak timbul (embossed)
- Warna disebelah kiri plat yang membezakan penggunaan bahan bakar kenderaan. Contoh: warna hijau untuk FEV
- Jalur holografik
- Foil anti pemalsuan
- Tandatangan digital (Kod QR) – mengandungi data Nombor Pendaftaran Kenderaan dan nombor siri yang tertera pada setiap plat
- Nombor siri yang diukir dengan laser
- RFID terbenam
- Skru keselamatan untuk pemasangan.
Harga
Plat nombor JPJePlate berharga RM98/set. Setiap set masing-masing mengandungi satu plat hadapan dan belakang kenderaan, pelekat RFID cermin depan serta termasuk penghantaran standard ke pusat pemasangan yang sah.
Bila boleh dapatkan JPJePlate?
Semua EV baru yang dihantar bermula 9 September 2024 akan dipasang secara automatik dengan plat nombor JPJePlate.
Pemilik EV sedia ada boleh melakukan pembelian plat nombor JPJePlate yang baru mulai 9 November 2024.Plate ini akan dihantar ke pusat pemasangan yang diberi kuasa untuk pemasangan.
Macam mana nak buat pesanan?
Perlu diketahui, pesanan yang lengkap dan selesai dibayar tidak boleh dibatalkan. Untuk membuat pesanan, kemukakan dokumen sokongan berikut:
- Surat Keputusan Berjaya Bidaan dari sistem JPJeBid.
- Sijil Pendaftaran Sementara e-Daftar
- Resit bayaran tempahan nombor pendaftaran yang dibayar melalui Portal mySIKAP awam atau kaunter JPJ.
Sementara itu, tiga pilihan tersedia untuk kaedah penghantaran atau penerimaan.
Macam mana nak pasang?
Terdapat dua kaedah pemasangan, sama ada menggunakan skru keselamatan atau menggunakan pemegang/bingkat plat.
Bagaimanapun, pemilik kenderaan disarankan menggunakan skru keselamatan kerana boleh mengelakkan dan mengurangkan risiko yang tidak diingini.
Skru keselamatan direka dengan kaedah pemasangan unik yang memerlukan pemutar skru khas. Skru ini tidak boleh dikeluarkan dengan mudah tanpa memecahkan skru dan penutupnya, memastikan pemasangan yang selamat pada kenderaan.
Macam mana nak pastikan dah pasang dengan betul?
Anda diminta untuk menghantar 3 gambar sebagai bukti pemasangan dan dihantar melalui akaun pengguna masing-masing untuk pengesahan.
- Pandangan plat nombor JPJePlate bahagian hadapan
- Pandangan plat nombor JPJePlate bahagian belakang
- Pandangan pelekat RFID di sudut kiri (bawah) cermin hadapan.
Ada waranti?
Plat nombor JPJePlate disertakan dengan jaminan mematuhi piawaian antarabangsa ISO 7591 dan piawaian plat nombor Jerman DIN 74069 daripada tarikh pengeluaran.
- Jaminan karat – 10 tahun
- Jaminan kehilangan data RFID – 10 tahun
- Jaminan fungsi RFID – 7 tahun
- Jaminan terhadap pengelupasan, pudar warna, dan delaminasi mengikut ISO 7591 – 5 tahun
Bagaimanapun, perlindungan jaminan tidak meliputi kerosakan yang disebabkan oleh penyelenggaraan yang cuai, seperti vandalisme, pencemaran, dan kerosakan yang disengajakan.
Untuk lain-lain butiran, layari portal rasmi JPJePlate.
{suggest}
Sumber: JPJePlate
Gambar utama: BMW Millennium Welt