Antara muka iOS sejak dari dahulu kelihatan sama sahaja dan tidak banyak perubahan ketara yang dilihat. Semakin hari, pengguna semakin bosan kerana itulah lumrah manusia yang menginginkan sesuatu yang baharu.
Sudahlah rupa iOS yang nampak terlalu ‘simple’ dan membosankan, rekaan iPhone pun sama. Namun, segala keluhan pengguna mungkin “didengari” Apple di mana mereka dijangka membawa perubahan besar pada iOS.
Awal tahun ini, Jon Prosser mengatakan aplikasi kamera iOS akan diberi nafas baharu. Kawalan kamera dibahagikan kepada foto dan video. Ya, ia mirip dalam peranti Pixel.
Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa iOS 19 akan menerima sentuhan mirip visionOS daripada peranti Vision Pro.
Kini, perkara tersebut dikuatkan lagi menerusi perkongsian baharu daripada Prosser. Dalam video itu, ia memaparkan yang ikon iOS 19 memang berubah. Ikonnya lebih bulat tetapi tidak dapat dipastikan bagaimana rupa bulat itu.
Jangan salah faham, bukanlah kita tidak tahu bagaimana rupa bulat. Sebaliknya, ia bukanlah bulat sepertimana kita lihat pada visionOS atau watchOS. Cumanya, beliau menegaskan ikon baharu.
Antara perubahan lain adalah tab bar terapung berbentuk pil pada kebanyakan aplikasi terbina iOS seperti App Store, Apple Music, Apple TV, Messages dan Phones. Bahagian control center juga sedikit baharu di mana ia lebih bulat berbanding sekarang.
Walaupun ini masih lagi status ura-ura tetapi perlu diingatkan kerana perkara tersebut dikongsikan dua individu, Mark Gurman dan Jon Prosser yang mempunyai rekod baik dalam mendedahkan maklumat Apple kepada umum.
Benar atau tidak, segalanya bakal terjawab semasa acara Apple WWDC 2025 yang bakal berlangsung Jun depan.
{suggest}
Gambar: FPT