Apple hari ini mengumumkan Persidangan Pembangun Sedunia (WWDC) tahunannya akan berlangsung dari 9 hingga 13 Jun 2025.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, WWDC 2025 akan diadakan sepenuhnya dalam talian dan boleh diakses secara percuma untuk semua pembangun.
Namun begitu, Apple turut menganjurkan pengalaman secara bersemuka. Pembangun berpeluang menonton ucaptama, bertemu dengan pakar Apple secara individu atau dalam sesi berkumpulan, serta menyertai pelbagai aktiviti khas di Apple Park pada 9 Jun. Tempat adalah terhad, dengan butiran lanjut boleh didapati di laman web WWDC25.
Menerusi acara itu kelak, Apple dijangka akan memperkenalkan sistem operasi terbarunya, termasuk iOS 19, iPadOS 19, visionOS 3, macOS 16, watchOS 12dan tvOS 19.
Beberapa sumber mendakwa bahawa iOS 19 akan menampilkan antara muka baharu yang diilhamkan oleh visionOS, platform perisian yang digunakan dalam Apple Vision Pro.
Antara muka ini dijangka menampilkan butang dan menu yang lebih lutsinar dengan rupa seakan kaca. Malah, angka “25” dalam logo WWDC tahun ini juga mempunyai sentuhan halus yang menyerupai visionOS.
You’re gonna want to save the date for the week of June 9! #WWDC25 pic.twitter.com/gjzYZCkPbA
— Greg Joswiak (@gregjoz) March 25, 2025
WWDC juga berkemungkinan menjadi pentas bagi pelancaran perkakasan baharu serta kemas kini berkenaan ciri Siri dengan sokongan Apple Intelligence, yang sebelum ini ditangguhkan.
Sehingga itu, sama-sama kita nantikan apakah ciri dan fungsi baharu yang akan diperkenalkan pada sistem operasi akan datang.
{suggest}